BAITULMAQDIS, 7 FEB – Penduduk Palestin hari ini menolak perbuatan menghasut seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat sehari selepas pertempuran dan serangan yang membunuh tiga penduduk Palestin dan mencedera lebih 12 warga Israel.
Sebaliknya, mereka mengaitkan keganasan kepada inisiatif Timur Tengah Presiden Donald Trump, yang memihak kepada Israel dalam isu paling sensitif konflik dan akan membenarkannya memisah sebahagian besar kawasan Tebing Barat yang diduduki.
“Mereka yang memperkenalkan pelan untuk pemisahan dan aparteid dan pengesahan pendudukan dan penempatan adalah mereka yang memikul tanggungjawab penuh atas kitaran keganasan dan fahaman pelampau yang semakin buruk,” kata pegawai kanan Palestin Saeb Erakat dalam satu kenyataan.
Beliau memberikan respons terhadap kata-kata yang disampaikan sehari sebelum Jared Kushner, menantu Trump dan perancang rangka tindakan Timur Tengah, yang telah menyalahkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas atas keganasan terbaharu.
“Jangan lancar keganasan dan menghasut rakyat anda melakukan keganasan jika mereka tidak mendapat apa yang diingini oleh mereka,” kata Kushner semalam, selepas memberikan taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai pelan tersebut. – AFP





























