Palestin: ‘Peperangan agama mungkin tercetus’

RAMALLAH, 16 OGOS – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) memberi amaran kelmarin bahawa gesaan seorang menteri kerajaan Israel untuk mengubah status quo Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis bakal mencetuskan ‘peperangan agama,’ lapor agensi berita Turki Anadolu.

Dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan selepas satu perjumpaan di Ramallah, Jawatankuasa Eksekutif PLO berkata gesaan itu yang dibuat baru-baru ini adalah ‘satu percubaan untuk mengheret rantau ini medan peperangan agama’ dan ‘propaganda’ untuk perpecahan masjid tersebut.

Pada Selasa, Menteri Keselamatan Awam Israel Gilad Erdan menggesa agar status masjid itu ditukar agar orang Yahudi boleh beribadat di sana secara individu atau berkumpulan di kawasan terbuka atau tertutup.

“Saya fikir terdapat ketidakadilan dalam status quo yang wujud sejak 1967,” kata Erdan kepada Radio Israel pada Selasa.

“Jadi kita perlu berusaha untuk mengubah (status quo) supaya pada masa akan datang, orang Yahudi, dengan bantuan Tuhan, boleh beribadat di Gunung Kuil.”

Sementara itu, kumpulan Hamas yang berpangkalan di Gaza menyeru ke arah perpaduan nasional dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkembangan terkini berkaitan Masjid Al-Aqsa yang berlaku sehari sebelum dan pada hari pertama Aidiladha.

Tentera Israel telah menyerang penganut Islam rakyat Palestin di kompleks Masjid Al-Aqsa pada Ahad, yang mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang.

Menyifatkan Baitulmaqdis sebagai satu ‘garis merah,’ Hamas berkata “sebarang serangan ke atas Masjid Al-Aqsa adalah serangan ke atas rakyat Palestin terutamanya dan semua ummah.

“Satu-satunya cara untuk menentang plot ini adalah dengan perpaduan nasional yang sebenar berdasarkan perkongsian sebenar,” katanya.

Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin dalam satu kenyataan bertulis turut memberi amaran berkaitan kemungkinan berlaku ‘peperangan agama’ di rantau itu. – Bernama