Palsukan cek: Bekas kerani dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Seorang kerani syarikat yang melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah $10,450 dan juga secara tidak jujur memalsukan cek dijatuhi hukuman dua tahun lima bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan di sini, kelmarin.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni memutuskan hukuman itu terhadap Norfizalahyati binti Abdullah, 36 tahun yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu antara 15 November 2018 dan 11 Disember 2018.

Tertuduh mengaku mengeluarkan beberapa cek daripada buku cek dan pada 15 dan 30 November, 1 dan 11 Disember 2018 telah memalsukan cek untuk tujuan menipu dengan mengisi jumlah wang yang berlainan pada cek itu.

Dia juga memalsukan tandatangan majikannya dan mengecap cek itu menggunakan cop rasmi syarikat.

Perbuatan tertuduh terbongkar apabila majikannya menyedari terdapat pengeluaran wang dibuat daripada akaun syarikat tanpa kebenarannya ketika pergi ke bank pada 21 Disember 2018 untuk mendapatkan penyata akaun bank syarikat.

Majikannya membuat laporan polis dan siasatan membawa tangkapan tertuduh pada 18 Januari 2019.

Tertuduh mengaku telah menggunakan wang yang dikeluarkannya itu untuk perbelanjaan peribadi.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.