Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 27 Feb – Seramai 23 orang peserta telah menunjukkan kemahiran membaca Al-Quran pada Musabaqah Membaca Al-Quran Kebangsaan yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, hari ini.
Pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Serba Guna Masjid Muhammad Jamalul Alam itu, muncul juara dalam Kategori Lelaki ialah Haji Sudirman bin Haji Metussin dengan markah 86 peratus diikuti oleh Haji Masri bin Haji Mohamad (84.5 peratus) dan Haji Mahari bin Haji Metussin (84 peratus) di tempat ketiga.
Bagi Kategori Perempuan, Hajah Norzirwatul Fadhillah binti Haji Puteh muncul johan setelah mencatatkan markah tertinggi sebanyak 91 peratus, manakala, Hajah Amidah binti Ghafar dan Hajah Norhayati binti Haji Ahmad, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan markah 85 peratus dan 83 peratus.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang yang dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Hal Ehwal Ugama di Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu, beberapa orang hakim dan jemputan.


Dibukakan kepada peserta yang berusia 40 ke atas dari masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, musabaqah berkenaan bertujuan untuk mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir di samping membantu menyokong masjid-masjid sebagai pusat pembelajaran bagi masyarakat sekitar.
Selain mengetengahkan bakat-bakat peserta dalam pembacaan Al-Quran, pertandingan berkenaan juga membantu membangunkan lagi kemahiran dan kualiti bacaan mereka.
Semasa majlis penyampaian hadiah pada sebelah petang, Hajah Norzirwatul Fadhillah selaku pemenang yang mencatat markah tertinggi dalam pertandingan turut memperdengarkan bacaan beliau untuk para jemputan.