BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pelantikan ahli-ahli Lembaga Pemaju Perumahan dan Pendaftar pada 31 Mac 2018.
Sehubungan itu, Mesyuarat Awal Lembaga Pemaju Perumahan, Brunei Darussalam telah diadakan pada 24 Mei lalu di Bilik Si Pugut, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Dalam mukadimah pembukaan mesyuarat, Yang Berhormat Dato mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli-ahli lembaga dan pendaftar atas lantikan masing-masing.
Beliau menjelaskan, melalui Perintah Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), 2012, antara fungsi utamanya adalah untuk pendaftaran pemaju perumahan, mengawal selia kelayakan pendaftaran dan urus niaga pemaju-pemaju perumahan di Negara Brunei Darussalam.


Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa dengan penubuhan lembaga berkenaan, perniagaan yang dijalankan oleh pemaju perumahan berdaftar di negara ini akan lebih bermutu dan terkawal serta hasil kualiti perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan akan meningkat.
Pihak awam juga akan merasa lebih selamat serta berpuas hati dengan urus niaga yang diberikan sesuai dengan harga rumah yang dikenakan kepada mereka.
Pihak pemaju perumahan yang berdaftar, tambah beliau, juga sudah semestinya akan bersikap profesional dengan menjaga etika kerja serta menjalankan perkhidmatan serta perundingan yang jujur dan tidak mementingkan kewangan dan keuntungan semata-mata.
Majlis juga mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) selaku Pengerusi Lembaga Pemaju Perumahan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin,.
Beliau menekankan bahawa apabila Perintah Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan), 2012 dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan, kemajuan lebih empat unit tempat tinggal atau menjual lebih empat unit lot mestilah mendapat kebenaran Lembaga Pemaju Perumahan melalui pemaju perumahan yang berdaftar sahaja.
Di majlis tersebut, Menteri Pembangunan juga telah menyampaikan sijil-sijil lantikan kepada semua ahli-ahli lembaga dan pendaftar yang dilantik.