Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pamer keprihatinan kebajikan pelajar

    Oleh Lyna Mohamad

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat meninjau lebih dekat Asrama Perempuan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) yang terletak di Jalan Ong Sum Ping, kelmarin.

    Lawatan tidak berjadual Baginda Sultan itu adalah bagi meninjau lebih dekat prasarana blok pengajian dan Bangunan Asrama Perempuan ITQSHHB, di samping memeduli kesejahteraan tenaga pengajar dan pelajar institut berkenaan.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Timbalan Hal Ehwal Pelajar ITQSHHB, Haji Mohd Khairil Faisal bin Haji Abu Bakar; Ketua Asrama ITQSHHB, Hajah Hasni binti Haji Mohd Salleh; Pegawai Kesejahteraan ITQSHHB, Dayang Hartini binti Haji Hassin dan Penyelia Asrama ITQSHHB, Dayang Noramalina binti Haji Jumat serta pegawai dan kakitangan yang lain.

    Hadir semasa lawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap (Undang-undang dan Kesejahteraan) di JPM, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, tenaga pengajar, pegawai dan kakitangan serta pelajar institut berkenaan.

    Sejurus keberangkatan, Baginda berkenan dijunjung melawat ke kelas-kelas pengajian yang terdapat di Bangunan Asrama Perempuan sebelum berkenan mengadakan lawatan dan meninjau kemudahan di asrama tersebut, antaranya surau dan bilik-bilik asrama.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama guru dan penuntut institut berkenaan.

    KDYMM berkenan meninjau ke bahagian dalam Bangunan Asrama Perempuan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan dijunjung meninjau ke salah sebuah bilik Asrama Perempuan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    KDYMM berkenan dijunjung meninjau kemudahan yang terdapat di dewan makan institut berkenaan.

    KDYMM berkenan dijunjung beramah mesra bersama para pelajar institut berkenaan.

    KDYMM berkenan dijunjung beramah mesra bersama sebahagian guru-guru institut berkenaan semasa lawatan tersebut.

    Baginda kemudian dijunjung ke bilik persidangan bagi mengadakan sesi perbincangan tertutup bersama Pemangku Pengetua ITQSHHB, tenaga pengajar dan pelajar institut tersebut.

    Sebelum berangkat meninggalkan Asrama Perempuan ITQSHHB, Baginda berkenan menerima junjung ziarah daripada tenaga pengajar, pegawai dan kakitangan serta pelajar institut berkenaan.

    Seramai 144 penghuni Asrama Perempuan ITQSHHB yang terdiri daripada 135 pelajar menengah dan sembilan pelajar Diploma ‘Aliyah Qiraat.

    Asrama Perempuan ITQSHHB pada masa ini terbahagi kepada empat unit yang mengandungi 57 buah bilik termasuk bilik tamu. Selain itu, asrama itu juga menyediakan kemudahan lain seperti bilik pentadbiran, surau dan dewan makan pelajar.

    Jumlah pelajar perempuan ITQSHHB tahun ini ialah seramai 179 terdiri daripada pelajar Tahun 7 hingga 11 dan Diploma ‘Aliyah Qiraat Tahun 1 hingga 3.

    Setiap pelajar yang tinggal di asrama berkenaan juga dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing seminggu sekali serta semasa hari-hari kelepasan awam untuk mendidik mereka supaya lebih berdikari, berdisiplin dan dapat menyesuaikan diri masing-masing dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda