Pamer kreativiti dalam rekaan

Oleh Amri HTZ

Ketika duduk bersantai atas sofa bilik tamu menikmati kopi atau teh, setentunya membebankan untuk meletakkannya berulang kali pada meja utama yang mempunyai jarak daripada tempat duduk.

Masalah yang dihadapi tersebut boleh diselesaikan dengan mereka meja ‘C’ dua dalam satu yang cukup mudah dilakukan. Selain mampu dijadikan sebagai meja kopi, ketika ditetapkan pada kedudukan merentang, ia juga boleh dijadikan sebagai meja makan kecil mahupun untuk komputer.

Sedia barangan sebelum memulakan

Bagi mereka meja ‘C’ dua dalam satu ini, persediaan perlu dilakukan dengan menyediakan barangan seperti beberapa batang kayu 2”x2” (panjang sekurang-kurangnya 6 kaki), mesin pemotong kayu, gam kayu, pengepit kayu, pahat, ketam kayu (mesin atau manual), cat atau wood wax, berus cat, kertas pasir atau pelelas orbit dan tukul getah (mallet hammer).

Lakukan satu persatu berhati-hati

Kayu-kayu yang telah disediakan akan dipotong menjadi beberapa bahagian menggunakan mesin pemotong kayu. Ukuran-ukuran yang diperlukan adalah tujuh batang kayu berukuran 26” panjang, 13” panjang (tujuh batang), dan 11” panjang(tujuh batang).

Setelah memotong kayu bagi kesemua bahagian meja, keseluruhan permukaannya akan diratakan menggunakan mesin ketam kayu atau secara manual bagi memastikan kesemuanya dalam ukuran yang sama.

Proses menyapukan gam kayu pada keseluruhan permukaan cantuman untuk menjadikannya satu bahagian.
Kayu-kayu yang telah dipotong dan disusun untuk mendapatkan idea sebenar sebelum mencantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu.
Bahagian bawah meja yang diwarnakan dengan warna yang diinginkan sesuai dengan tema ruangan bilik tamu.
Gam yang mengering setelah kayu dicantumkan akan dibuang dengan cara menggosokkannya menggunakan pelelas orbit atau hanya menggunakan pahat kayu.
Ketika proses mencantumkan kesemua bahagian yang juga perlu menggunakan gam kayu untuk mengekalkan kedudukannya.

Selain itu, proses meratakannya juga memainkan peranan penting bagi mencantumkannya nanti yang setentunya menjamin kekukuhan dan ketahanannya. Bagi anda yang telah membeli kayu yang sudah dalam keadaan rata (terjual dalam keadaan sudah diketam), langkah ini tidaklah perlu dilakukan lagi bagi menjimatkan masa.

Kayu-kayu yang telah diratakan akan dicantumkan mengikut bahagian-bahagian tertentu iaitu untuk bahagian kaki (ukuran kayu 26”) dan bahagian utama (atas dan bawah) iaitu kayu 13” dan 11”. Teknik percantuman setiap bahagian meja yang akan digunakan bagi projek ini ialah cantuman finger joint. Selain ia cukup mudah untuk dilakukan, teknik ini juga mampu menjamin kekukuhan setiap sudut cantuman bagi rekaan.

Teknik ini juga mampu memberikan kelainan dalam rekaan di mana bahagian sudut cantuman yang menonjol nanti akan menimbulkan pertanyaan bagi pemerhatinya tentang bagaimana ia dilakukan. Ini setentunya akan memberikan lebih nilai kepada rekaan anda kelak.

Kayu-kayu berukuran 26” panjang akan dicantumkan menjadi sekeping di mana keseluruhan permukaan cantuman akan disapukan dengan gam. Gunakan gam kayu yang cukup kuat dan kalis air bagi memastikan ia tidak rosak (cantuman terbelah) ketika digunakan nanti. Susunan kayu yang akan dicantumkan setiap bahagian hujungnya akan diletakkan secara berselang-seli di mana kayu kedua, keempat dan keenam akan diberikan jarak 2” daripada kayu pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sekali gus membentuk seperti jejari.

Setelah mencantumkan kesemua kayu, kekalkan kedudukan cantuman menggunakan pengepit kayu. Gunakan sekurang-kurangnya tiga pengepit kayu keseluruhannya bagi memastikan proses pengapitan dilakukan dengan sempurna dan susunan kayu tidak berubah (cantuman kayu kebiasaannya akan berubah kedudukan apabila diberikan tekanan). Mulakan proses pengapitan daripada salah satu bahagian hujung kayu, diikuti pada bahagian tengah dan terakhir, bahagian hujung yang satu lagi. Menggunakan lebih daripada tiga pengepit kayu dalam proses ini adalah satu kelebihan dalam memastikan kayu kekal pada kedudukan dan menghasilkan cantuman yang begitu kukuh.

Jumlah penggunaan gam juga memainkan peranan penting bagi proses mencantumkan. Bagi menandakan gam yang disapukan sudah mencukupi, ketika proses pengapitan, lebihan gam akan keluar dari sudut cantuman. Jika hal yang sebaliknya berlaku, ini menandakan penggunaan gam adalah tidak mencukupi dan lakukan semula langkah menyapukan gam pada permukaan cantuman sebelum ia mengering.

Bagi bahagian atas dan bawah meja, proses cantuman agak berbeza di sini tetapi masih mengekalkan bentuk jejari pada bahagian hujung salah satu sudut. Kayu 13” dan 11” tadi akan dicantumkan secara berselang-seli dan membiarkan bahagian hujung sudut kayu yang satu lagi dalam keadaan rata.

Untuk memastikan susunan ‘jejari’ bahagian hujung kayu sepadan dengan bahagian tengah (kayu berukuran 26” tadi), cantumkan sementara kayu 13” dan 11” tadi dalam keadaan tersusun (dry run) di mana jika dimulakan dengan kayu berukuran 11”, ia akan diikuti oleh kayu 13” dan kemudiannya diikuti dengan kayu 11” dan seterusnya. Bagi proses mencantumkan secara kekal menggunakan pengepit kayu, lakukan langkah yang sama seperti sebelumnya.

Apabila kesemua bahagian meja yang dicantumkan telah mengering (gam), kini awda boleh mencantumkan keseluruhan bahagian menjadi satu. Setiap sudut cantuman perlu disapukan dengan gam kayu dan gunakan sesiku sebagai panduan bagi mencantumkan bahagian atas dan bawah meja.

Lebihan gam yang mengering pada setiap sudut cantuman boleh dibuang menggunakan pahat kayu apabila ia mengering sepenuhnya.

Bagi memastikan permukaan kayu kalis air, gunakan cat atau wood wax untuk melindungi permukaannya daripada kelembapan. Warna yang digunakan dan permukaan di mana ia akan disapukan adalah mengikut kreativiti tersendiri.

Sapukan sekurang-kurangnya dua lapisan cat atau wood wax pada permukaan kayu dengan memberikan masa setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya. Meja ‘C’ yang telah siap direka ini, selain boleh digunakan secara berdiri ketika anda duduk di sofa, ia juga boleh digunakan dalam keadaan melintang, yang setentunya akan memberikan lebih ruangan untuk awda menikmati jamuan yang sederhana.