Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pamer kreativiti olah kayu terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Menyimpan lebihan kayu daripada projek-projek rekaan sebelumnya merupakan suatu langkah bijak bagi mengelakkan pembaziran yang setentunya mampu digunakan untuk projek lainnya.

    Namun timbunan kayu terpakai pada ruangan kerja setentunya menjadi perkara yang menjengkelkan disebabkan pergerakan yang terhad dan memenuhi ruangan. Sesetengah pengamal DIY akan menyelesaikan masalah tersebut dengan menjadikannya sebagai kayu api, dan sebahagiannya memanfaatkannya menjadi nilai tambah sebuah rekaan daripada yang berukuran besar sehinggalah sekecil-kecil rekaan.

    Antara barang yang diperlukan

    Bagi projek kali ini, lebihan kayu daripada projek sebelumnya mahupun kayu terbuang akan dijadikan sebuah rekaan berupa penyendal pintu. Sebelum merekanya, pastikan barangan seperti lebihan kayu, gam kayu, ketam kayu, mesin pemotong kayu meja, alat pengepit kayu, bandsaw atau mesin jig, pita pengukur, pensel penanda, dan mesin kertas pasir disediakan lebih awal agar tidak mengganggu perjalanan projek.

    Langkah awal pembuatan

    Sebagai permulaan, kumpulkan kesemua lebihan kayu yang dimiliki pada meja kerja. Pilih kayu yang mempunyai panjang kira-kira 3” serta permukaan yang rata memandangkan material kecil agak sukar untuk diratakan menggunakan mesin ketam kayu.

    Namun melakukannya secara manual bukanlah suatu perkara mustahil tetapi memerlukan banyak tenaga dan masa.

    Kepingan kayu terpakai yang telah diratakan lebarnya menggunakan mesin pemotong kayu.
    Langkah mencantumkan kepingan kayu yang telah diratakan menggunakan gam kayu.
    Cantuman kayu yang telah dipotong rata dan akan dibahagi kepada dua bagi mendapatkan dua bahagian rekaan.
    Salah satu cara memotong blok kayu yang telah ditandakan iaitu menggunakan bandsaw dengan bantuan jig (papan lapis yang telah dibentuk).

    Bagi awda yang menggunakan kayu terbuang dan memerlukan langkah untuk meratakannya menggunakan ketam kayu secara manual, pastikan material yang hendak diketam ditetapkan pada vise khusus kayu. Material yang dikepit perlu lebih tinggi daripada sliding jaw alat vise agar bilah ketam tidak rosak apabila terkena padanya.

    Selain itu pastikan alat ketam benar-benar tajam dan tetapkan kedalaman (tinggi bilah yang tertonjol pada permukaan bawah alat) bilah kurang daripada 1mm agar tidak tersekat-sekat ketika awda menyorongnya. Alat ketam yang ditetapkan dengan baik tidak memerlukan kekuatan berlebihan ketika meratakan kayu.

    Setelah meratakan permukaan kayu, setiap kepingan akan disamakan lebarnya menggunakan mesin pemotong kayu meja. Untuk itu, rip fence meja perlu ditetapkan sekurang-kurangnya 1” daripada bilah pemotong. Gunakan angkup vernier atau pita pengukur untuk mengukur jarak bilah sebelum mengunci kedudukan rip fence.

    Apabila kesemua kepingan kayu telah dipotong dengan lebar yang sama, langkah seterusnya, mencantumkan kesemuanya menjadi satu.

    Terlebih dahulu susun kepingan kayu mengikut kreativiti di mana setiap kepingan yang akan dicantumkan bersama mempunyai perbezaan warna yang akan memberikan kelainan pada rekaan. Setelah berpuas hati dengan jalur-jalur warna asli kayu, kini awda boleh melakukan proses mencantumkannya.

    Sapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan tetapkan kedudukannya secara sementara menggunakan pengepit kayu. Beri tekanan yang cukup kepada material yang dikepit agar cantuman benar-benar kukuh. Biarkan gam mengering selama beberapa jam, atau lebih baik 24 jam, sebelum awda beralih ke langkah seterusnya.

    Blok kayu yang telah tercipta kemudiannya akan diratakan panjangnya menggunakan mesin pemotong kayu meja. Sama seperti langkah sebelumnya, bagi memastikan potongan benar-benar rata dan sekata (jika mereka lebih dari satu), tetapkan rip fence mesin pada kedudukan yang sama.

    Selesai memotongnya, blok kayu tersebut kemudiannya akan dibahagi dua, menjadikan setiap blok kayu kepada dua penyendal pintu. Proses pemotongan untuk blok kayu ini agak sukar dan bahaya menggunakan mesin pemotong kayu meja. Untuk itu disarankan menggunakan mesin jig atau bandsaw bagi melakukannya.

    Bagi awda yang sukar melakukan pemotongan secara bebas menggunakan bandsaw kerana dikhuatiri tidak lurus, awda boleh mereka jig untuknya.

    Dengan melakar bentuk penyendal pintu pada sekeping papan lapis sebagai jig, awda hanya perlu menyorong perlahan material yang dipotong memandangkan jig yang diletakkan pada bahagian sisi ketika memotongnya dijadikan sebagai panduan.

    Kayu penyendal pintu yang telah dipotongkan tersebut kemudiannya akan digosok permukaan atas, sisi dan belakangnya menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit.

    Selain itu, bagi memastikan tidak berlakunya kecederaan ketika tersandung secara tidak sengaja, setiap sudut akan dibulatkan menggunakan mesin kertas pasir.

    Dalam memastikan kesemua penjuru kayu mempunyai bentuk yang sama, jig dengan sudut membulat akan direka menggunakan kayu. Selain itu, objek berbentuk bulat seperti penutup boleh juga boleh digunakan asalkan ditetapkan pada kedudukan yang sama.

    Membentuknya menggunakan mesin memerlukan awda menggunakan kertas pasir berukuran sedikit halus agar material yang dibentuk tidak terlalu cepat haus, terutama bagi mereka yang kurang pengalaman dalam penggunaannya. Sementara yang melakukan menggunakan kertas pasir, awda hanya perlu meletakkan kertas pasir pada permukaan meja kerja yang rata dan memegang material sambil menggosokkannya.

    Bagi memastikan penyendal tidak mudah bergerak ketika digunakan, awda boleh melekatkan alas daripada getah menggunakan gam bersesuaian.

    Selain itu, bagi menimbulkan lapisan-lapisan kayu yang dicantumkan, awda boleh menyapukan rekaan menggunakan wood finish pilihan.

    Dengan langkah terakhir tersebut, pintu sesebuah ruangan yang awda ingin dalam keadaan kekal terbuka kini boleh terlaksana dengan kehadiran rekaan yang cukup unik tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    AS bakal terima panda China

    BEIJING, 19 APRIL - San Francisco ialah bandar terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang bersiap sedia untuk menerima sepasang panda dari China, sebagai kesinambungan daripada...