Pamer kreativiti peserta melukis guna kapur

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Buat julung-julung kalinya, baru-baru ini, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menganjurkan Pertandingan Seni Kapur yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Diadakan buat kali pertama di negara ini, pertandingan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai agar menyokong bidang kreativiti dan seni, di mana sepanjang pertandingan, peserta telah menunjukkan kemahiran dan kebolehan mereka dalam seni melukis menggunakan kapur.

Pertandingan berkenaan juga antara usaha Yayasan untuk mempromosikan kedai-kedai runcit dan restoran mereka sebagai destinasi pusat membeli-belah di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan Yayasan, pertandingan berkenaan amat unik, di mana peserta menunjukkan kemahiran melukis di atas lantai jubin kompleks berkenaan menggunakan kapur.

Setiap peserta diberikan dua jam untuk melukis dengan tema ‘Nature’ bagi Kategori 13 Tahun ke Bawah dan ‘Abstract’ bagi Kategori 13 Tahun ke Atas.

Muncul juara ialah Dexter Junsay diikuti oleh Dayang Noor Ashdina binti Salim di tempat kedua dan Dayang Nur Hazirah binti Morni di tempat ketiga.

Pemenang sagu hati pula ialah Awang Mohd Hairul Yazim bin Rosmani, Suzy Salleh, Wajihah Dali, Dayang Syasya Sahira binti Yusop, Marini Mohd Hassan, Lim Huey Shee dan Ronald C Penas.

Antara yang ikut serta dalam pertandingan tersebut.