Oleh Syahmi hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, pengedar tunggal jenama Toyota di Brunei Darussalam, NBT Sdn Bhd mengadakan Jerayawara Toyota Brunei bermula hari ini sehingga hujung minggu ini di The Mall, Gadong.
Jerayawara tersebut mempamerkan lima model Toyota serba baharu termasuk
Toyota Rush, Vios, Fortuner, Camry dan Corolla Altis. Ia juga menampilkan tawaran sewa beli istimewa sempena Hari Kebangsaan bagi semua model Toyota sepanjang Februari ini.
Jerayawara tersebut diadakan bagi memeriahkan semangat bulan kebangsaan seterusnya memberikan ganjaran hebat kepada para pelanggan dan bakal pembeli melalui promosi menarik.
Turut menyertai jerayawara tersebut ialah wakil Baiduri Finance dan Bank Islam Brunei Darussalam bagi membantu memudahkan pelanggan membuat penyemakan bagi pembelian atau kelulusan pembelian terus di sana. Ia juga dimeriahkan dengan pondok gambar bagi orang ramai yang ingin mengambil bahagian dan mengongsikannya di platform media sosial.
Sehubungan itu, NBT menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan jerayawara tersebut.






























