Pameran 1K1P ketengahkan produk premium dan klasik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Sebanyak 10 jenis produk Premium Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan 14 jenis produk Klasik 1K1P telah diketengahkan semasa Pameran Produk-produk Transformasi 1K1P sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Pameran anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh sembilan orang usahawan di bawah Program Transformasi 1K1P pada 2020.

Pada majlis ramah mesra itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bercemar duli menyaksikan pameran.

Menurut kenyataan KHEDN, peserta pameran adalah sebahagian daripada sejumlah 19 orang usahawan yang telah berjaya dibimbing di bawah program itu yang dilaksanakan KHEDN kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku pengendali kursus.

Pelaksanaan program bertujuan meningkatkan pengurusan projek-projek 1K1P sedia ada kepada tahap sebuah entiti perniagaan sebenar termasuklah mempunyai tadbir urus korporat, pelan pampasan dan dokumentasi perniagaan yang teratur.

Selain itu, usahawan-usahawan terlibat juga dilatih untuk menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan mempunyai pembungkusan serta jenama yang bertaraf premium di pasaran.

Pameran semasa majlis ramah mesra itu bertujuan mempromosikan lagi produk-produk 1K1P yang telah ditambah nilai dari segi rasa, warna dan reka bentuk mengikut permintaan semasa. Ia juga ditambah baik dengan penggunaan pembungkusan produk dan label yang berkualiti bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.

Ia adalah selaras dengan hala tuju program 1K1P dan objektif KHEDN bagi mengangkat dan mengiktiraf produk-produk IK1P yang berkualiti dan berpotensi untuk dikomersialkan di pasaran di samping menambah pendapatan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan sosioekonomi masyarakat sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035.

KDYMM Paduka Seri Bagida Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Pameran Produk-produk Transformasi Satu Kampung Satu Produk (1K1P) sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani