Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pameran barangan sekolah legakan ibu bapa di Mesir

    KAHERAH – Ketika pengiraan detik tahun persekolahan baharu Mesir telah bermula, satu pameran bekalan sekolah yang menampilkan potongan harga sedang diadakan di ibu negara Kaherah untuk memberikan ibu bapa sedikit kelegaan daripada kenaikan kos sara hidup.

    “Saya membeli beberapa buku nota, pen, botol air dan barangan lain untuk dua anak saya.

    Harganya lebih rendah daripada pasaran luar dan ia amat melegakan di tengah-tengah kenaikan harga,” kata Sayyid Magdy, seorang bapa yang datang ke pameran ‘Ahlan Madares’ bersama anak lelakinya yang berumur 12 tahun.

    Pameran tahunan itu diadakan pada 1 hingga 9 September tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kaherah oleh Kementerian Bekalan dan Perdagangan Dalaman.

    “Kami kini mempunyai lebih 200 peserta pameran, menampilkan kasut, produk kulit, pakaian, alat tulis, beg sekolah, cermin mata dan bahan makanan.

    Kelihatan para ibu bapa bersama anak-anak mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barang persekolahan dengan harga yang murah. – Xinhua
    Pameran tahunan itu diadakan pada 1 hingga 9 September tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kaherah. – Xinhua

    “Kami juga mempunyai enam buah bank yang menyediakan penyelesaian dan ansuran untuk membeli peralatan sekolah dan membayar yuran sekolah,” kata Sherif Yehia, salah seorang daripada penganjur dan ahli lembaga Dewan Perniagaan Kaherah.

    Yehia menegaskan bahawa peserta pameran tidak perlu membayar apa-apa untuk menyertai pameran itu dan satu-satunya perkara yang mereka tawarkan ialah potongan harga sekurang-kurangnya 30 peratus untuk pelanggan.

    “Potongan harga kadangkala mencecah 50 peratus atau lebih tanpa menjejaskan kualiti produk.

    “Oleh itu, seperti yang awda lihat, kehadiran pelanggan adalah sangat tinggi,” kata penganjur kepada Xinhua, sambil menyatakan ini adalah tahun keenam berturut-turut mengadakan pesta sebegitu.

    Di salah satu gerai, ibu bapa dan anak-anak mereka sedang membeli pen, pensel, pembaris dan buku nota dengan penutup berwarna.

    Jurujual Mostafa Saad, seorang pekerja di gerai itu, berkata pameran itu menawarkan peluang sebenar untuk membeli peralatan sekolah pada kos rendah menjelang tahun persekolahan yang bermula pada awal Oktober.

    “Pameran itu memudahkan ibu bapa dan menawarkan potongan harga yang besar kepada mereka.

    “Ini dapat dilihat dengan jualan tanpa henti dan kehadiran pelanggan. Saya perlu meminta kilang kami untuk mendapatkan satu lagi kumpulan buku nota kerana ia terjual dengan sangat baik dan kehabisan,” kata lelaki itu kepada Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...