Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Bunga Chelsea, penuh warna-warni

    UNITED KINGDOM – Pameran Bunga Chelsea secara rasminya bermula baru-baru ini mempamerkan pelbagai variasi taman-taman bunga yang begitu indah dan kreatif.

    Selain itu, pameran ini turut mempamerkan pelbagai jenis bunga yang mendamaikan serta menenangkan setiap pengunjung yang menyaksikannya.

    Pameran ini sudah memasuki kali ke-105 ia diadakan malah ia dianggap sebagai salah satu acara berprestij tinggi khususnya dalam bidang pertanian. Pameran warisan ini sangat terkenal khususnya dalam kalangan penduduk di United Kingdom.

    Sebagaimana pameran bunga sebelum ini, ia telah dirasmikan dan dilancarkan sendiri oleh Ratu Elizabeth II bersama dengan beberapa lagi ahli kerabat diraja yang lain.

    Pameran bunga ini berlangsung selepas dua hari acara perkahwinan diraja yang disambut dengan penuh gilang gemilang antara Putera Harry dan Meghan Markle di Istana Windsor. Ratu Elizabeth II turut diiringi bersama Putera Andrew, Puteri Anne, Puteri Beatrice dan Sophie, Countess of Wessex, bagi sama-sama memeriahkan lagi pelancaran acara tersebut.

    Pameran ini sudah memasuki kali ke-105 ia diadakan malah pertunjukan ini dianggap sebagai salah satu acara berprestij tinggi khususnya dalam bidang pertanian. – AFP

    Pelbagai tema

    Acara warisan ini telah bermula 22 Mei lalu dan akan berakhir sehingga 26 Mei ini, di mana pameran bunga pada tahun ini membawa tema, “Peranan taman dan penanaman tumbuh-tumbuhan berpotensi untuk membendung dan menangani isu masalah besar yang kita hadapi pada hari ini.”

    Pengurus Am pameran bunga itu, Sue Biggs berkata, “Ia merupakan satu pengalaman yang menakjubkan untuk melihat taman-taman ini terus mekar dan pameran bunga Chelsea ini seolah-olah memperingatkan kita tentang kuasa dan kehebatan tumbuh-tumbuhan serta kesannya terhadap beberapa aspek dalam kehidupan kita.”

    Lantaran itu, sebuah taman indah dicipta oleh Matt Keightley dan dinamakan sebagai ‘Taman Yang Indah’ berfungsi untuk memberikan ruang terapi khususnya untuk kesihatan, ketenangan dan kesejahteraan.

    Selain itu, ia juga mendorong para pengunjung untuk duduk dan santai menikmati tawaran-tawaran hebat yang disediakan di taman tersebut, iaitu kesegaran.

    Pameran bunga Chelsea ini bukan sahaja mampu menarik kunjungan golongan kerabat diraja, malah ia juga berjaya menarik beberapa tokoh terkenal negara itu termasuk Perdana Menteri negara itu, Theresa May, artis Joanna Lumley dan personaliti TV, David Walliams.

    Pameran bunga ini dibukakan selama dua hari untuk ahli-ahli komuniti dan ahli persatuan pertunjukan bunga tersebut dan orang ramai akan berpeluang mengunjungi pameran itu bermula kelmarin. Orang ramai akan berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis bunga dan arca agro yang menarik serta banyak lagi.

    Pameran bunga dan taman ini juga bertujuan untuk mendedahkan bahawa bercucuk tanam atau berkebun bunga-bunga juga baik untuk kesihatan dan pada tahun ini, setiap taman akan mempamerkan satu fokus yang kuat sekali gus menawarkan satu solusi mudah bagaimana untuk memulakan berkebun bunga.

    Orang ramai akan berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis bunga dan arca agro yang menarik serta banyak lagi. – AFP

    Pelbagai platform

    Selain itu, terdapat juga sebuah taman yang dinamakan sebagai ‘Urban Flow’ dan direka khas oleh Tony Woods, pemenang pereka muda terbaik pada tahun 2013. Woods cuba untuk memaparkan corak hiasan taman tersebut dengan kondisi perubahan cuaca ketika ini.

    Woods juga turut mereka bentuk satu tanaman dengan reka bentuk yang kreatif, sekali gus mempamerkan bagaimana tumbuhan-tumbuhan menerima kesan yang teruk berikutan pencemaran dan menerima kekurangan air.

    Sementara itu, terdapat juga pameran yang menakjubkan iaitu ‘The Pearlfisher Garden’ di mana ia direka khas untuk memfokuskan potensi penggurunan lautan, yang mana menjadi habitat kepada lebih 300 ekor ikan.

    Taman ini dicipta atas kerjasama dengan Organisasi Plastik Lautan bagi menonjolkan kesan-kesan alam sekitar jika pembuangan plastik tidak dikawal khususnya terhadap ekosistem dunia.

    Pereka taman, John Warland berkata, “The Pearlfisher Garden merupakan satu usaha yang besar namun sangat bernilai dan kami berdepan dengan pelbagai cabaran untuk merealisasikannya kerana kami cuba untuk membawa habitat tersembunyi di dasar lautan dan yang terbesar di muka bumi, sehingga ke pusat bandar di SW1.

    “Ibu dunia, itu dia, satu reka bentuk yang luar biasa, kita semua perlu berfikir terhadap kesan yang kita buat dan bagaimana kita dapat bekerja dengan, berbanding terus menentang alam semula jadi, untuk mencipta sesuatu yang lebih selesa, lebih cantik dan sentiasa mapan untuk kita semua,” tambah John lagi kepada media.

    Pameran Bunga Chelsea bermula pada tahun 1913 dan ketika itu, hanya tiga sahaja peserta ikut serta dalam pameran itu, namun ia masih lagi ikut serta sehingga ke hari ini. Mereka itu ialah Kelways, McBeans Orchids dan juga Blackmore dan Langdon. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda