BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Berikutan sambutan baik dan kehadiran orang ramai, pameran dan jualan hasil usahawan tempatan termasuk Produk Brunei Halal yang diadakan di Ruang Legar Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC) bersempena Sambutan Israk dan Mikraj akan dilanjutkan sehingga esok (27 April) dan dibukakan kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 4:30 petang.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama, antara pameran yang mendapat sambutan adalah Klinik Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Klinik Sembahyang kendalian Jabatan Pengajian Islam.
Klinik-klinik berkenaan memberi peluang kepada orang ramai dan pengunjung mentasmik bacaan Surah Al-Fatihah dan menghalusi tatacara sembahyang mereka.
Pameran dan Jualan Produk Halal juga disertai oleh 17 pengusaha daripada majlis perundingan mukim dan kampung dari keempat-empat buah daerah dan empat buah syarikat menyertai acara jualan hasil usahawan tempatan.