Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Pameran dokumentasikan perjalanan Hijrah Rasulullah

    DHAHRAN, ARAB SAUDI – Sebuah muzium Saudi menggunakan lakonan semula yang difilemkan dan karya seni kontemporari untuk menggambarkan episod penting tentang kehidupan Nabi Muhammad yang membawa kepada penubuhan masyarakat Islam.

    Pameran itu bertujuan untuk menggambarkan dan menghidupkan kisah Hijrah yang berusia 1,400 tahun, apabila Nabi Muhammad, diancam dengan pembunuhan, melakukan penghijrahan selama lapan hari, 400 kilometer dari Mekah ke Madinah.

    Dibukakan kepada orang ramai minggu ini, pameran itu akan berlangsung selama sembilan bulan di Muzium Ithra di timur bandar Dhahran sebelum berpindah ke kawasan lain dalam negara dan seterusnya ke luar negara.

    Kebanyakan umat Islam mengetahui kisah Hijrah secara luas, walaupun ia tidak pernah dipersembahkan dengan cara yang begitu mengasyikkan, menurut ulama Saudi Abdullah Hussein Alkadi.

    Ia menggabungkan segala-galanya daripada artifak berusia berabad-abad hingga rakaman dron zaman moden, kata Alkadi, yang telah menghabiskan beberapa dekad mengkaji Hijrah dan penyelidikannya membentuk asas pameran itu.

    Bahagian dalaman Muzium Ithra yang mempamerkan kisah Hijrah yang berusia 1,400 tahun. – AFP
    Gambar menunjukkan arca unta yang berkaitan dengan kisah penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah, di Muzium Ithra di bandar Dhahran. – AFP
    Abdullah al-Rashid, pengarah Muzium Ithra ketika ditemui pemberita. – AFP

    Seorang artis mempersembahkan adegan mengenai kisah penghijrahan Nabi Muhammad. – AFP
    Penonton selesai menonton drama yang difilemkan mengenai kisah Hijrah berusia 1,400 tahun. – AFP

    Orang Arab biasa “tahu bahawa Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah, itu sahaja,” kata Alkadi sambil mengatakan bahawa bahan itu tidak diliputi secara menyeluruh di sekolah.

    Ia sepatutnya sama-sama membuka mata bagi orang bukan Islam yang mungkin tidak mengetahui kisah itu sama sekali, menyampaikan mesej seperti keperluan untuk bertolak ansur terhadap pendatang yang boleh dikaitkan dengan semua orang, kata Alkadi.

    “Awda perlu mempunyai toleransi. Jika awda tidak mempunyai toleransi dengan semua jenis orang tanpa mengira agama mereka, tanpa mengira etnik mereka, tanpa mengira jantina mereka atau apa sahaja, tidak mungkin awda dapat menjalani kehidupan yang aman,” katanya.

    Tiga tahun dalam pembikinan, pameran itu menampilkan karya ahli akademik dan artis dari 20 negara.

    Filem pendek oleh pengarah Amerika Ovidio Salazar menggambarkan bagaimana orang tua dari suku Quraisy merancang untuk membunuh Nabi Muhammad, mendorongnya untuk melarikan diri, dan pertemuan dengan pemburu hadiah Suraqah, yang ditawarkan 100 ekor unta untuk menangkap Nabi sama ada hidup atau mati.

    Pengunjung muzium juga akan melihat replika unta kesayangan Rasulullah Qaswa, gambar kontemporari dari laluan Hijrah dan tekstil dari Masjid Nabawi di Madinah. Unsur-unsur lain lebih bersifat tafsiran, terutamanya karya artis Saudi Zahra Al Ghamdi, yang karyanya pernah ditunjukkan di Venice Biennale dan Muzium British.

    Untuk pameran Hijrah, Al Ghamdi meluangkan masa selama lima bulan untuk mencelup kain ke dalam lumpur dan tanah liat serta mengikatnya. Simpulan, yang dipamerkan dengan latar belakang putih, bertujuan untuk menandakan ikatan antara penduduk Madinah dan Nabi Muhammad dan pengikutnya.

    “Melalui kerja ini, saya membuat rayuan untuk menghidupkan konsep persaudaraan ini, yang memberi makna kepada kehidupan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...