Pameran Foto-foto Istanbul pada 22 Jun ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Kedutaan Turki di Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos bagi Pameran  Foto-foto Istanbul yang menunjukkan beberapa buah mercu tanda dan aspek seni bina, manusia juga budaya bandar berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Turki, di sini, foto-foto berkenaan diambil oleh penulis jalanan dan gaya hidup, Sravasti Ghosh Dastidar serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun.

Kenyataan menambah bahawa perasmian pameran akan berlangsung pada 22 Jun dan tetamu kehormat majlis nanti ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan Datin Hajah Edah binti Haji Mohd Noor.

Pameran itu akan dibuka bagi kunjungan orang ramai pada 24 hingga 27 Jun di Kedutaan Turki, No. 27, Simpang 52, Kampung Manggis Satu, pada Isnin hingga Khamis, dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2:30 petang hingga 4 petang.