Tuesday, October 15, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Halal Brunei bermula 23 Ogos

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Industri produk dan perkhidmatan halal dari syarikat-syarikat tempatan serta antarabangsa akan diketengahkan menerusi Pameran Halal Brunei 2017 (BruHAS 2017) yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Ogos nanti di Dewan Persidangan, BRIDEX di Jerudong. Menurut kenyataan dari EIDPMO, pameran itu akan diserikan dengan empat aktiviti utama iaitu Ekspo Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban (EKSPPHAT), Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban Ke-II 2017 (SAPPHAT II), Dialog mengenai Sijil Halal dan Perintah Label Halal (Pindaan) 2017 dan Logistik Halal serta Klinik Halal.

    Kenyataan menjelaskan lagi bahawa lebih 50 peserta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Industri Halal akan mengambil bahagian dalam ekspo itu. Pameran itu akan mengetengahkan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tempatan dan antarabangsa di negara ini, di mana ia meliputi pelbagai industri termasuk industri makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan agensi pelancongan, produk rumah dan pembekal perkhidmatan halal. Sementara itu, Seminar SAPPHAT II yang akan diadakan pada 23 dan 24 Ogos bakal menampilkan siri ceramah daripada penceramah antarabangsa dan juga forum bertajuk ‘Memperkasakan Industri Halalan Thayyiban Asas Pembentukan Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur,’ untuk menjadi Industri Halalan Thayyiban (memberi maksud sesuatu yang sihat, baik dan berkualiti) sebagai asas dasar dalam membentuk negara aman dan makmur yang mendapat keredaan Allah S.W.T.

    Kenyataan menyatakan bahawa seminar itu nanti hanya terbuka kepada peserta yang berdaftar dan oleh itu, orang ramai yang berminat boleh melayari laman sesawang www.unissa.edu.bn/sapphat untuk membuat pendaftaran dan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai topik yang akan dibentangkan. Manakala itu, Dialog BruHAS mengenai Sijil Halal dan Perintah Label Halal (Pindaan) 2017 dan Logistik Halal pula akan diadakan pada sebelah pagi 25 Ogos dan Klinik Halal BruHAS pada sebelah petang 25 Ogos nanti.

    Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Kawalan Makanan Halal Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), UNISSA dan Pusat Sains dan Metrologi Halal Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan hadir di Klinik Halal BruHAS di mana kedua-dua acara iaitu, Dialog BruHAS dan Klinik Halal dibukakan untuk orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda