Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Pameran imbau sejarah setem lama

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Mengumpul setem merupakan hobi lama yang kini bukan lagi popular dalam masyarakat seperti mana yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu. Walaupun ia hobi lama yang mungkin dianggap lapuk dan dipinggirkan, mengumpul setem sebenarnya menjadi simbol rakaman kenangan peristiwa sejarah yang berlaku di seluruh dunia.

    Tanpa kita sedari atau tidak, ia juga menjadi pengerat hubungan dan tanpa setem, sudah pastinya segala urusan mengirim surat bertanya khabar serta melepas rindu tidak kesampaian.

    Dari sinilah kita dapat melihat betapa pentingnya peranan setem dalam komunikasi satu masa dahulu namun kini semakin dilupakan dari hari ke hari.

    Sehubungan itu, dalam usaha untuk mengongsikan peristiwa bersejarah berkaitan pengumpulan setem bersama orang ramai dan pengumpul setem terutama sekali generasi masa sekarang, Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah mengadakan Pameran Sejarah Setem Brunei.

    Selain mengimbau kembali peristiwa bersejarah itu, pameran ini juga diharap dapat memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan kepada pengunjung tentang nilai sebuah kenangan dan peristiwa sejarah.

    Hajah Siti Aiasah memberikan penerangan mengenai pameran semasa ditemu bual media.

    Antara koleksi setem, sampul surat pertama dan poskad yang dipamerkan dalam Pameran Sejarah Setem Brunei di Galeri Sejarah, PSB.
    Turut dipamerkan setem, pingat dan tongkat Sultan Ahmad Tajuddin.
    Suasana di Pameran Sejarah Setem Brunei.

    Awang Bolhassan semasa ditemui media.
    Pakaian seragam pekerja pos.

    Maklumat pameran

    Pegawai Sejarah Bahagian Pameran dan Perkhidmatan, PSB, Hajah Siti Aiasah binti Pungut ketika ditemui telah mengongsikan bahawa pameran di Galeri PSB ini dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga 5 Mac 2023.

    Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat lagi setem-setem, sampul surat hari pertama dan poskad dari tahun 1895 hingga 1988 yang memperlihatkan sejarah melalui gambar-gambar yang terdapat pada setiap setem dan poskad yang dipamerkan.

    Pameran tersebut dilancar sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 dalam kerjasama PSB dengan Persatuan Filatelik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
    Menurut Hajah Siti Aiasah, “Apa yang menarik tentang pameran ini adalah ia bukan saja menceritakan tentang sejarah pos itu sendiri malah ia juga mempamerkan koleksi setem-setem daripada Pemangku Yang Di-Pertua PSB, Profesor Adjung Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Dr Bakar bin Haji Berudin daripada Persatuan Filatelik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan dari Pejabat Pos itu sendiri”.

    Di samping itu, turut dipamerkan ialah sampul surat hari pertama perpuspaan raja termasuk Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Omar Ali Saifuddien III dan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
    “Seperti yang kita maklum, setiap acara keraian negara akan ada keluar sampul surat hari pertama dan inilah yang dipamerkan dalam pameran ini,” jelas Hajah Siti Aiasah.

    Selain setem, poskad dan sampul hari pertama, juga menarik perhatian pada pameran adalah pingat dan tongkat Sultan Ahmad Tajuddin.

    Sementara itu, pameran itu turut mempamerkan Pos Gold Plated, pengeluaran terhad dimiliki oleh Profesor Adjung Haji Mohd Rozan selain mempamerkan kumpulan gambar daripada ahli filatelik yang memaparkan poskad atau gambar dan surat pada zaman era Sultan Ahmad Tajuddin.

    Pengguna setem masa kini

    Melihat kepada peranan setem masa kini yang semakin dilupakan, Dayang Manisah binti Haji Lampoh ketika ditemu bual mengongsikan pandangannya bahawa jika dilihat pada masa ini, penggunaan setem semakin dipandang sepi dan kebanyakannya hanya dijadikan sebagai koleksi saja.

    “Jika dulu, apabila menjelang Hari Raya sudah pasti penggunaan setem mendapat sambutan menggalakkan dan daripada setem yang digunakan juga kita sudah tahu pengirim kad berasal dari negara mana,” tambahnya.

    Manakala Awang Bolhassan bin Haji Abu Bakar pula berkata, “Antara faktor penggunaan setem pada masa ini yang semakin berkurangan adalah disebabkan impak penggunaan media sosial yang berleluasa selain kurangnya penggunaan surat-menyurat masa kini”.

    Menurutnya lagi, individu atau generasi muda masa kini lebih selesa menggunakan aplikasi seperti WhatsApp sebagai pengganti diri untuk bertanya khabar dan sebagainya kerana mereka merasakan ia lebih mudah dan cepat.

    Tapi dalam masa yang sama mereka lupa akan kepentingan peranan setem yang telah berbakti kepada generasi dahulu.

    “Namun setem yang telah wujud berkurun-kurun lamanya tetap digunakan sehingga kini dan ia juga popular dan masih mendapat sambutan hangat apabila tibanya sesuatu perayaan rasmi, termasuk memperingati ulang tahun penubuhan atau sempena sambutan jubli emas umpamanya di sesebuah negara,” jelasnya.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...