Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Pameran Indahnya Indonesia yang berlangsung bermula hari ini, di The Mall Gadong, yang disertai syarikat-syarikat kecil, sederhana dan besar mempamerkan pelbagai produk gabungan Indonesia dan Brunei.
Pameran anjuran Kedutaan Republik Indonesia di Brunei itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar sambil disaksikan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei, Nurul Qomar.
Menurut Nurul Qomar, pameran ini adalah bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke-72 negara itu dan tema pameran kali ini ialah ‘Pameran Indahnya Indonesia 2017’.
Tema ini menggambarkan kedudukan kepulauan Indonesia yang kaya dengan sumber kebudayaan dan etnik yang berbilang budaya di seluruh negara selain menawarkan pelbagai produk daripada produk kecantikan hinggalah ke warisan sejarah yang berbilang budaya dan lainnya.
Beliau seterusnya menjelaskan, setelah menjadi bangsa yang matang, Indonesia juga meningkatkan sumber manusia yang membolehkan menghasilkan beberapa produk berasaskan teknologi yang paling canggih termasuk peralatan ketenteraan dan pengangkutan.


“Dengan pameran ini juga, syarikat dari Indonesia akan berpeluang mengembangkan pasaran antarabangsa seterusnya meningkatkan daya saing mereka di mana Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu tempat untuk memenuhi matlamat ini,” jelasnya lagi.
Di samping mempromosi produk Indonesia, tambahnya, ia juga bertujuan untuk memantapkan kerjasama antara komuniti perniagaan Indonesia dan Brunei.
Pada majlis itu, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi mengadakan lawatan ke petak pameran sambil mendengar penerangan ringkas mengenai produk-produk yang dipamerkan di ekspo tersebut.
Terdahulu, majlis dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari Universitas Negeri Medan, Sumatera Utara.