NEW YORK – Ikan jerung menjadi tumpuan terbaru di Dewan Pameran Akuarium New York di mana ia jelas memperlihatkan salah satu langkah pemulihan pantai berikutan daripada kesan buruk yang disebabkan oleh bencana Superstorm Sandy pada tahun 2012.
Terletak di dalam sebuah bangunan baru berdekatan dengan laluan Coney Island yang terkenal, Ocean Wonders: Sharks! dengan ruangan tangki yang boleh memuatkan sebanyak 379,000 gelen air bakal dibuka pada 30 Jun ini.
Kerja-kerja pembaik pulihan di seluruh kawasan kampus seluas 14 ekar itu terus giat dilaksanakan walaupun masih banyak kemudahan lain yang belum beroperasi selepas bencana itu melanda enam tahun lalu.
Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang mengendalikan sistem operasi akuarium tersebut bersama-sama dengan Zoo Bronx dan zoo di bandar lain setentunya sukar melupakan tragedi yang menimpa kawasan tersebut di mana bekalan elektrik telah terputus dan secara tidak langsung turut merosakkan sebahagian besar kemudahan di kawasan itu.
“Secara jujurnya saya terdiam selama 20 minit ketika mengenangkan ruang akuarium yang rosak enam tahun lalu berikutan daripada bencana tersebut,” jelas Pengarah Akuarium, Jon Forrest.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/M14-B_29618.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/M14-A_29618.jpg)
Dewan pameran akuarium itu juga telah ditutup dalam tempoh tertentu bagi memberikan laluan kepada pekerja untuk menyelamatkan spesies marin yang menerima kesan buruk daripada tragedi tersebut sekali gus turut melakukan kerja-kerja pemulihan.
Dewan pameran itu ditempatkan di sebuah bangunan yang memiliki ukuran keluasan 57,500 kaki persegi di mana ia memiliki dinding berkilat seolah-olah menyerupai seperti sisik ikan.
Terdapat 12 spesies ikan jerung,enam spesies ikan pari, beberapa ekor spesies ikan, kura-kura laut dan spesies marin lain di dalam tiga ruangan akuarium yang dipamerkan.
Pengunjung setentunya akan berasa seperti seolah-olah berada di dasar laut terutama apabila berpeluang untuk melihat jerung dan spesies marin yang berenang bebas dalam akuarium diletakkan di atas terowong laluan yang jelas sangat menakjubkan.
“Setentunya pengunjung akan berasa terpegun tatkala melangkah masuk ke dalam dewan pameran akuarium ini kerana ia seolah-olah membawa pengunjung untuk berenang bersama dengan spesies marin yang sangat unik dan istimewa,” jelas Dohlin yang merupakan salah seorang pekerja di dewan pameran akuarium itu.
Dewan pameran akuarium yang menelan kos perbelanjaan setinggi AS$158 juta secara berterusan terus dipelihara sehingga ia dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Dohlin dan kakitangan lain yang kehilangan pekerjaan berikutan daripada bencana itu kembali bersemangat untuk meneruskan pekerjaan yang sangat mereka cintai itu.
Di samping itu, Dewan pameran akuarium tersebut turut ditubuhkan sebagai langkah untuk meningkatkan tahap kesedaran awam berhubung dengan ancaman terhadap ekosistem laut termasuk kegiatan penangkapan ikan secara berlebihan dan pencemaran alam.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/M14-C_29618.jpg)
Susan Chin, arkitek dari Persatuan Konservasi Hidupan Liar yang mengetuai pasukan reka bentuk bangunan baru atas kerjasama dengan firma Edelman Sultan Knox Wood menjelaskan bahawa dirinya yang membesar di New York memang tidak pernah menyangka bahawa bandaraya metropolitan tersebut turut memiliki habitat spesies marin yang tersendiri.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa terdapat kuda laut yang berenang bebas di bawah Jambatan Brooklyn. Selaku salah seorang penduduk di bandaraya ini setentunya menjadi tanggungjawab kita untuk terus memelihara alam sekitar agar spesies marin ini akan dapat hidup harmoni dan dekat dengan komuniti,” jelas Chin.
Antara lain yang turut ditampilkan di pameran itu adalah keadaan yang memperlihatkan sebuah ruang dipenuhi dengan sampah plastik berselerak di kawasan air di mana ia secara tidak langsung telah memberi ancaman terhadap kehidupan laut sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran awam akan risiko untuk membuang sampah secara merata-rata.
Ikan jerung sering menjadi buruan pada nelayan terutama bagi mendapatkan siripnya yang dikatakan memiliki nilainya yang tersendiri dan kegiatan buruk tersebut harus segera dibanteras bagi mengelakkan ia diancam oleh kepupusan.
Justeru, mesej utama yang cuba ditonjolkan dalam pameran ini adalah jerung juga memiliki tahap ketakutan tersendiri terhadap manusia yang dikatakan jauh lebih tinggi berbanding tahap ketakutan manusia terhadap spesies marin tersebut terutama apabila ia terus diburu dan mengancam habitat kehidupannya.
“Memang secara umumnya, jerung akan melakukan serangan sekiranya habitatnya dicerobohi namun sebagaimana warasnya pemikiran akal seseorang individu harus ketahui adalah tidak ada sesiapa di dunia ini yang suka diganggu dan begitu juga dengan ikan jerung. Maka, saya tidak mengira apa juga persepsi individu terhadap jerung namun setentunya ia memiliki hak tersendiri untuk terus hidup di dunia ini,” jelas Dohlin. – AP