Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Murid-murid Sekolah Rendah Telanai, Beribi telah berpeluang untuk mengetahui dan mendalami lagi sejarah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi pameran sempena Jubli Emas ke-50 Tahun Baginda Sultan Menaiki Takhta yang berlangsung di Sekolah Rendah Telanai, Beribi, hari ini.
Pameran yang diadakan oleh Sekolah Rendah Telanai dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei itu menyaksikan penerangan dan taklimat mengenai Jubli Emas berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Sejarah Kanan Pusat Sejarah Brunei, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.
Semasa pameran berkenaan, jualan buku keluaran Pusat Sejarah Brunei juga diadakan untuk memberikan peluang kepada para murid dan ibu bapa mendapatkan buku-buku pada harga istimewa.
Pameran memperlihatkan pencapaian Baginda dalam pelbagai bidang termasuk hasrat dan aspirasi Baginda dalam membangunkan Brunei seiring dengan falsafah negara, Melayu Islam Beraja serta sebagai nadi penggerak yang menjurus kepada Wawasan Brunei 2035.