Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pameran khas memperingati P Ramlee, Saloma

    Detik 29 Mei, setiap tahun pasti dikenang sebagai tarikh pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

    Kelmarin, genap 49 tahun pemergian tokoh seniman serba boleh yang terkenal di seluruh Nusantara itu.

    Sempena memperingati P Ramlee, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pusat beli-belah, Fahrenheit88 mengadakan pameran khas P Ramlee dan isterinya, Puan Sri Saloma selama dua hari, bulan lalu.

    Pameran khas itu diadakan sempena kempen Raya Melodies anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal dengan memilih P Ramlee dan Saloma sebagai tema dekorasi pusat beli-belah berkenaan.

    Fahrenheit88 memilih Arkib Negara Malaysia sebagai rakan strategik kerana jabatan kerajaan itu bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik seniman terulung bersama isterinya di Pustaka Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang.

    Pameran khas P Ramlee dan Saloma diadakan sempena kempen Raya Melodies anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal lalu. – Agensi

    Pameran khas itu mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung, Biduanita Negara dan barangan peribadi yang jarang dipamerkan kepada khalayak.

    Nama P Ramlee sinonim dengan perkembangan, pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air.

    P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929.

    Minat mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak muda lagi.

    Kerjayanya sebagai anak seni bermula ketika ditawarkan berlakon dalam filem bertajuk Chinta pada 1948.

    Filem terakhir lakonannya ialah Laksamana Do Re Mi, manakala lagu terakhir ciptaannya ialah Ayer Mata Di Kuala Lumpur.

    Jumlah lagu nyanyian atau ciptaan beliau melebihi 350 lagu.

    Sepanjang hayat, P Ramlee berlakon dan mengarah sebanyak 66 filem. Filem arahan pertamanya, Penarik Becha (1955).

    Filem Melayu pertama yang dirakam dalam warna penuh Eastman diarahkan pengarah dari India, Phani Majumdar, Hang Tuah (1956) mengangkat sejarah legenda Laksamana Hang Tuah di Melaka pernah menerima anugerah Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong pada 1956, selain tayangan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 1957 dan turut tercalon untuk anugerah Golden Bear di festival sama.

    Sementara itu, pasangan hidup P Ramlee iaitu Salmah Ismail atau Saloma adalah anak seni sejati yang mengabadikan diri untuk dunia seni sepanjang hayat.

    Allahyarham dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935. Saloma mula mengasah bakat dalam bidang seni suara apabila mendapat peluang membuat persembahan bersama Kumpulan The Singapore Boy di New World Cabaret dan nyanyian pertamanya, Seven Lovely Days.

    Pada 1950-an, Saloma hanya dikenali melalui menerusi dendangannya dan watak sampingan dalam filem Melayu sehinggalah dilamar melakonkan watak utama menerusi filem Azimat (1958) dan filem Kaki Kuda (1958). – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...