Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Dalam usaha untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar sastera sekali gus mencungkil kemampuan pelajar dalam memberi apresiasi karya, petang tadi telah diadakan Pameran Komik Awang Kamaruddin adaptasi daripada Hikayat Awang Kamaruddin bertempat di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam (SMPIHM), Serasa.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Pensyarah di Universiti Brunei Darussalam, Dayang Ena Herni binti Wasli.
Pameran komik Awang Kamaruddin adaptasi daripada Hikayat Awang Kamaruddin berkenaan merupakan projek pelajar-pelajar sastera Tahun 9 di sekolah berkenaan yang diadakan buat julung kalinya.
Seramai lebih 25 orang pelajar sastera turut terlibat dalam projek berkenaan dari sekolah berkenaan.
Hadiah utama bagi penghasilan komik berkenaan jatuh kepada Dayang Amaal Atikah binti Awang Isa dari Kelas 9C1 sekali gus berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai beserta sijil yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran SMPIHM, Haji Mahleyuddin bin Haji Metussin.
Antara lain tujuan pameran berkenaan diadakan ialah bagi membangkitkan semangat pelajar dalam berkarya selain mengajar pelajar berdikari dan meningkatkan rasa tanggungjawab.
Selain itu ia juga diharap agar dapat meningkatkan kemahiran hidup pelajar sekaligus memberi kesedaran bahawa mata pelajaran sastera boleh menjadi satu kerjaya.
Sementara itu, komik-komik terbaik yang dihasilkan oleh para pelajar setelah dihakimi berdasarkan kandungan jalan cerita, watak dan latar yang tepat selain dipamerkan turut dijual yang mana hasilnya akan diserahkan kesemuanya kepada pemilik komik berkenaan sendiri.