Pameran kraf tangan terbesar Mesir bantu peniaga mikro

ALAMEIN, MESIR – Ratusan artis Mesir mendapat peluang untuk mempamerkan dan memasarkan produk buatan tangan mereka dalam pameran tahunan terbesar di negara itu di bandar peranginan, New Alamein.

Dipanggil sebagai Diarna yang bermaksud ‘rumah kami’ dalam Bahasa Arab, pameran itu mempamerkan ratusan produk kraf tangan dan warisan yang dihasilkan oleh 250 usahawan, keluarga-keluarga produktif dan perusahaan mikro, termasuk tekstil, perabot, aksesori rumah, seramik, aksesori wanita, kulit, peralatan dapur dari tembaga, dan karya seni perak serta marmar.

Bermula pada 25 Julai lalu dan berlangsung hingga 25 Ogos mendatang, acara satu bulan itu dianjurkan oleh Kementerian Solidariti Sosial, bertujuan untuk menghidupkan semula kraf tradisional dan menyokong pengilang kraftangan berskala kecil dengan menyediakan gerai untuk memasarkan produk mereka.

“Acara seperti ini membantu saya memasarkan produk saya di bandar-bandar lain,” kata Nema Ahmed, seorang pameran dan pembuat pakai-an wanita dengan sulaman, kepada Xinhua di dewan utama seluas 1,000 meter persegi.

Ahmed, yang tinggal di wilayah Sohag Mesir, mengatakan jumlah pengunjungnya memberangsangkan dan pengunjung menunjukkan kekaguman terhadap produk buatan tangannya. “Pelanggan tidak dapat menemui barang-barang tersebut di mana-mana.

Kelihatan seorang peniaga mengait kraf tangannya semasa pameran tahunan untuk kraf tangan di bandar peranginan New Alamein. – Xinhua

Produk buatan tangan adalah sesuatu yang unik dan langka, dan itulah sebabnya mengapa ramai orang mengunjungi pameran itu,” kata wanita muda itu.

Memiliki sebuah kedai di kampung halamannya, Ahmed menyatakan ini adalah tahun keduanya untuk menyertai acara tahunan yang membolehkannya bertemu dengan pelanggan baharu dan mengetahui pilihan mereka.

Pameran seperti itu membantu pemilik perniagaan menjual barang mereka di tengah kemelesetan yang disebabkan oleh wabak COVID-19, katanya.

Ahmed menyatakan harapannya agar pameran itu dapat diadakan lebih dari sekali dalam setahun kerana ia memberi peningkatan ekonomi negara pada umumnya. Bagi pengunjung, pameran itu juga merupakan peluang yang baik untuk mencari karya seni yang menakjubkan dengan harga yang berpatutan.

“Saya telah membeli beberapa beg kulit dan dompet dengan harga yang sangat berpatutan,” kata Maha Rashidy, pakar pembangunan sosial, kepada Xinhua.

Wanita itu mengatakan kebanyakan produk yang dilihat berkualiti tinggi, berharap pameran seperti itu dapat diadakan secara berkala untuk membolehkan pemilik perniagaan menjual produk mereka.

Ismail Ahmed, seorang ahli perniagaan, mengunjungi pameran untuk membeli aksesori dan hiasan rumah.

“Ini adalah kali pertama saya mengunjungi pameran dan saya sangat terkejut kerana kami mempunyai artis yang mampu membuat karya seni yang luar biasa,” katanya. – Xinhua