TEHRAN – Anak perempuan kepada ketua pembangkang pemimpin Iran, Mir Hossein Mousavi, yang mana telah ditahan dan dipenjarakan di rumah sendiri sejak awal tahun 2011, telah menyembunyikan penderitaannya di sebalik sebuah lukisan cat air dengan melakar pelbagai bentuk lakaran seperti burung dan juga lukisan abstrak. Namun lakaran peluru, senjata dan juga bar penjara tidak pernah terpisah dalam penghasilan seninya.
Pameran lukisan seni, Narges Mousavi telah dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula Jumaat yang lalu di ibu negara Iran, Tehran.
Pameran yang dinamakan sebagai ‘When it Dawned’ itu merupakan pameran kedua dibukakan kepada awam dan memperlihatkan nilai seni wanita itu sejak ayahnya telah diletakkan di bawah tahanan rumah bersama dengan seorang pemimpin pembangkang, Mahdi Karroubi.
Kedua-dua pemimpin dalam gerakan Hijau Iran itu telah mengetuai protes secara besar-besaran yang cuba mencabar pemilihan semula pemerintahan presiden Iran, Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada tahun 2009. Namun selepas sahaja berjaya digagalkan, tiada pertuduhan dikenakan terhadap Mousavi dan juga Karroubi serta kedua-duanya berusia 75 tahun ketika itu.
Pameran itu diadakan di galeri ‘House of Free Designers’ di Tehran dan artis seni, Narges Mousavi berkata bahawa kebanyakan hasil seninya membicarakan mengenai perihal kontras antara ketiadaan peperangan dan menyatakan satu keindahan serta keanggunan satu keamanan.
“Dalam dunia seni, kita boleh berada di mana saja kita inginkan, malah kita boleh melakar pelbagai bentuk seni dan mewarnakannya dengan pelbagai warna, burung bernyanyi, bunga menghasilkan bunga yang mekar dan banyak lagi,” kata Narges lagi kepada wartawan AP.
Puitis seni
“Namun, kita semua perlu tahu, keindahan seni itu terpancar dari sudut yang tidak kelihatan seperti keadaan di langit manakala di atas tanah kelihatan satu kekejaman dunia dan material yang perlu dijernihkan dan menjurus kepada kebaikan,” tambah Narges lagi kepada wartawan AP. “Saya sebenarnya cuba menyembunyikan satu kesengsaraan yang dibawa oleh senjata dan peluru berpandu dengan satu sentuhan puitis,” tambah Narges lagi kepada media.
Namun setiap seni yang dihasilkan sebenarnya mempamerkan satu cerita yang tersendiri dan memerlukan pendekatan yang mendalam bagi menghasilkan satu seni yang sangat berkualiti.
Apa yang dapat disaksikan, kebanyakan karya seni anak pemimpin itu lebih banyak mempamerkan kehidupan sosial masyarakat yang ditimpa kesusahan dan keperitan satu peperangan. “Harapan saya adalah disebalik kekacauan, pembunuhan, kebakaran, bunyi tembak menembak dan ancaman nuklear namun dunia akan tetap kekal sebagai sebuah tempat untuk kita meneruskan kehidupan dan mudah untuk didiami,” kata Narges kepada media ketika mengiringi media melawat pameran berkenaan.
Pamerannya yang pertama telah berjaya diadakan pada bulan Ogos 2015 dan telah dihadiri oleh banyak ahli politik dan aktivis reformis termasuk bekas Presiden Mohammad Khatami yang telah berkhidmat dalam pemerintahan Iran dari tahun 1997 hingga 2005 dan tetap dikenali sebagai pemimpin rohani gerakan reformis walaupun berada di bawah larangan media sosial.
Di sebalik seni
Manakala beberapa aktivis politik yang telah menjalani hukuman penjara sejak demostrasi jalanan pada tahun 2009 turut menghadiri pameran pembukaan itu yang dirasmikan pada Jumaat. Di salah satu ruang, galeri itu dipasang oleh Narges satu persembahan seni yang melibatkan seorang wanita digambarkan berpakaian warna krim dengan di sekelilingnya di penuhi dengan gambar peluru dan topeng gas di kepala.
Para pengunjung berpeluang untuk mengambil gambar dan melihat dengan lebih dekat tayangan animasi yang disediakan oleh penggiat seni di negara itu.
“Sebenarnya kebanyakan karya-karya seni ini menunjukkan penjara, bar dan juga burung dan semua ini sebenarnya melambangkan kepada satu arus perjalanan kepada kebebasan,” kata Fateh, yang hanya memberikan nama pertamanya kerana takut dan khuatir akan keselamatannya.
Dalam satu wawancara pada bulan Julai yang lepas dengan Jomhouri Eslami Daily, Narges Mousavi bersama dengan kakaknya, Zahra berkata bahawa mereka sebenarnya bimbang tentang kesihatan ibu bapa mereka. Ibu Narges dan juga kakaknya, Zahra Rahnavard bersama suaminya, Mousavi dalam tahanan rumah sehingga ke hari ini.
Presiden Hassan Rouhani dalam kedua-dua kempen presidennya iaitu pada tahun 2013 dan juga tahun 2017 berjanji untuk membebaskan tahanan rumah untuk kedua-dua pemimpin pembangkang itu namun pasangan suami isteri itu masih lagi ditahan.
Penyokong berhaluan keras menuntut mereka dibicarakan atas dakwaan pengkhianatan. Namun baru-baru ini, pihak media di Iran melaporkan, Mousavi dan Karroubi sering kelihatan menjalani pemeriksaan kesihatan mereka di rumah sakit.
Mousavi dan juga Karroubi mengetuai gerakan perhimpunan jalanan secara besar-besaran selepas pilihan raya Ahmadinejad 2009 untuk membantah keputusan pemilihan rasmi dan kebanyakan penyokong pembangkang mendakwa bahawa terdapat penipuan dalam sistem pengundian.
Namun protes besar-besaran itu telah berjaya dileraikan oleh pasukan keselamatan di negara itu. – AP