Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, semalam, berkenan melancarkan Pameran Motor Brunei 2017 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Dewan 2, BRIDEX Jerudong.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa, Awang Hafriz Fayadh bin Haji Musa.
Meliputi kawasan seluas 86,000 meter, pameran anjuran MotoringBN itu mempamerkan pelbagai jenis kereta keluaran terbaru termasuk daripada Mitsubishi, Mazda, Nissan, Range Rover, Ford dan lain-lain.
Selain model jenama terkenal, kereta-kereta Supercar, kereta yang diubah suai, motosikal dan aksesori kereta turut menjadi tarikan.
Acara tersebut bertujuan untuk menggabungkan pengedar kereta tempatan dan pengedar aksesori kereta di bawah satu bumbung dengan tambahan seperti makanan dan minuman, hiburan dan pelancongan.





Pameran itu disertai oleh pengedar-pengedar kereta utama daripada Brunei Automobile Traders Association (BATA). Juga ikut serta sebagai rakan pameran dan penyokong adalah Jabatan Pengangkutan Darat, Brunei Shell Marketing (BSM) dan BIBD At-Tamwil.
Di majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia juga telah berkenan menyaksikan pelancaran model terbaru Nissan X-Trail 2018 serba baru oleh Syarikat Boustead Sdn Bhd.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengurus Operasi Kanan Boustead Sdn Bhd, Tan Teck Hock.
Sebagai program penghargaan pelanggan, 15 pelanggan terawal yang membeli X-Trail serba baru ini akan menerima dua tahun pembaharuan insurans secara percuma.