LANZHOU, China, 11 Julai – Pameran Pelaburan dan Perdagangan Lanzhou ke-23 berakhir pada petang Isnin. Dengan Inisiatif Belt and Road sebagai satu tema utama, pameran tempatan itu menjadi lebih global hasil daripada pelbagai aktiviti pertukaran ekonomi dan perdagangan B&R.
Pameran Lanzhou pada tahun ini meningkatkan pertukaran dengan negara-negara di sepanjang Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 selain yang berkaitan dengan Belt Ekonomi Laluan Sutera. Pameran itu menjemput Nepal dan Malaysia sebagai tetamu kehormat buat kali pertama dalam sejarahnya, menurut Zhang Zhengfeng, timbalan setiausaha dengan Kerajaan Wilayah Gansu dan naib pengarah eksekutif bagi jawatankuasa penganjur untuk pameran Lanzhou.
Pameran Lanzhou itu menarik perwakilan dari 36 buah negara dan beberapa organisasi antarabangsa, dengan 27 pegawai kementerian luar negeri dan duta menghadiri acara tersebut.
Sebanyak 32,000 orang di dalam negeri dan di luar negara mendaftar untuk acara itu.
Jumlah tetamu asing mencatatkan satu rekod tinggi pada tahun ini, meningkat lebih 30 peratus tahun ke tahun, menjadikan pameran tempatan itu bersifat lebih global, kata Zhang.
Wilayah Gansu telah memilih 206 projek pelaburan utama dengan volum pelaburan yang berjumlah 211.6 bilion yuan sebelum pameran itu dibuka. Kebanyakan daripada projek ini ditandatangani semasa pameran itu berlangsung, dengan masing-masing 12 peratus, 30 peratus dan 58 peratus daripada mereka berada dalam sektor pertanian, sektor perindustrian dan sektor tertiari. Satu kelompok projek pelaburan utama telah ditandatangani pada majlis penutup pada petang Isnin, yang meliputi sektor pembuatan peralatan, perubatan tradisional Cina, logam bukan ferus dan metalurgi, pertanian moden, penjagaan kesihatan umum, pelancongan ekologi dan lain-lain. – Bernama