Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pameran projek teknologi lahir belia inovatif

    Oleh Nurdiyanah R.

    Seiring kecanggihan teknologi mewarnai dunia, Negara Brunei Darussalam perlu memiliki generasi yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas yang kukuh untuk menerajui gabungan matematik, sains, teknologi, reka bentuk serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui pengalaman amali atau penyelidikan.

    Cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif mereka amat diperlukan dari semasa ke semasa demi mengharungi cabaran baharu supaya anak bangsa kita tidak terpinggir dalam era globalisasi digital dan meningkatkan lagi taraf hidup mereka pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam apa juga aspek kerjaya yang sedang diterokai mahu pun bakal diselami nanti.

    Itulah kesungguhan yang dapat digambarkan sebaik sahaja penulis berkesempatan menyaksikan Pameran Projek 2022 yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Blok Kejuruteraan Biasa, Fasa 3 di Universiti Teknologi Brunei (UTB) anjuran Sekolah Perniagaan (UTB-SB), baru-baru ini.

    Sebanyak 278 projek pelajar tahun akhir UTB berjaya mempamerkan sentuhan produk istimewa mereka yang pastinya memiliki potensi komersial berteraskan kepintaran, kemahiran dan keupayaan teknikal yang berkaliber tinggi.

    Cipta 3D kesedaran diri

    Rama-Rama: An interactive 3D animation about Body Dysmorphic Disorder (BDD) telah diketengahkan oleh salah seorang pelajar tahun akhir dalam Jurusan Multimedia Kreatif di bawah Pengkomputeran Kreatif, Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Dayang Rida Nurdini binti Awang Haji Ibrahim.

    Dayang Rina telah menampilkan hasil projek penyelidikannya bertajuk The impact of Instagram influencers and demographic factors on Consumer’s Purchasing Behavior: In context of impulsive buying in Brunei Darussalam.
    Awang Muhammad Yusri menampilkan projek teknologi berkisar pengurusan awal bencana banjir.
    Sebuah projek bertemakan kesedaran diri berjudul Rama-Rama: An interactive 3D animation about Body Dysmorphic Disorder (BDD) telah diketengahkan Dayang Rida.
    Awang Mohd Yamin ketika ditemui media semasa Pameran Projek 2022 yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Blok Kejuruteraan Biasa, Fasa 3 di UTB, baru-baru ini.

    Dayang Rida antaranya menyatakan BDD ialah sesuatu gangguan di mana seseorang individu merasakan diri mereka mempunyai kecacatan pada penampilan sehingga mengganggu kehidupan seharian mereka tetapi realitinya kecacatan tersebut tidak wujud ataupun terlampau sedikit sehingga tidak terlihat oleh orang lain.

    “Melalui kaji selidik ini, saya didapati tidak ramai yang mengetahui mengenai BDD walaupun gangguan ini sesuatu yang umum menurut kajian. Oleh kerana itu, saya terpanggil untuk mewujudkan kesedaran kepada orang awam mengenainya dengan segala pengetahuan dan kefahaman menerusi jalan cerita animasi interaksi ini,” ujarnya yang turut berkongsi projek yang dihasilkan menggunakan pelbagai aplikasi seperti Blender, After Effects, Premiere Pro, Illustrator dan Unity.

    Jauhi tabiat pembelian boros

    Salah seorang lagi pelajar tahun akhir dalam Jurusan Kewangan dan Pengurusan Risiko di UTB-SB, Dayang Rina binti Katrin telah menampilkan hasil projek penyelidikannya bertajuk The impact of Instagram influencers and demographic factors on Consumer’s Purchasing Behavior: In context of impulsive buying in Brunei Darussalam.

    Jelas Dayang Rina, adapun pembelian impulsif merujuk kepada keputusan yang tidak dirancang oleh pengguna untuk membeli suatu barangan atau menggunakan perkhidmatan tertentu menerusi kehangatan platform media sosial kini.

    “Di sebalik populariti Instagram pada masa kini, salah satu impak yang boleh mempengaruhi ketika menggunakan aplikasi media sosial berkenaan adalah pembelian secara impulsif.

    “Berdasarkan penelitian kajian, didapati tabiat membawa kepada pembelian sememangnya dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu seperti tarikan daripada golongan influencer Instagram yang bertindak sebagai alat untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan.

    “Oleh itu, menerusi projek penyelidikan berteraskan teknologi menggunakan software Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) sememangnya banyak membantu saya menganalisis semua data-data soal jawab yang diperoleh dari responden yang diedarkan kepada orang awam khususnya yang mempunyai akaun Instagram sehingga mencapai objektif-objektif tertentu,” tambahnya.

    Beliau mengemukakan antara tujuan kajian ini dilakukanadalah bagi menentukan sama ada pengguna berminat untuk membeli di Instagram; menentukan sama ada golongan influencer Instagram mampu mempengaruhi pengguna untuk membuat pembelian; dan menilai bilangan statistik jantina dan umur dengan tabiat pembelian impulsif.

    Waspada bencana banjir

    Dalam pada itu, projek teknologi berkisar pengurusan awal bencana banjir yang diberi nama Bathymetry Calibration of Brunei River turut diketengahkan oleh Awang Muhammad Yusri bin Juppry yang mengambil Jurusan Kejuruteraan Sivil di Fakulti Kejuruteraan, UTB.

    Menurut Awang Muhammad Yusri, projek dimuatkan model Sungai Brunei dengan menggunakan perisian HECRAS 2D FLOW di mana model berkenaan kemudian disimulasi dan dikalibrasi dengan menggunakan data hidrologi yang lalu dan menukar nilai tertentu bagi menyelaraskan model dengan keadaan sungai yang sebenar.

    “Model itu boleh digunakan sebagai alat untuk memantau hidrodinamik kawasan banjir di Sungai Brunei pada masa hadapan dan juga boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi banjir berskala luas, seperti memodelkan kejadian ribut dan banjir pantai yang dapat memanfaatkan pengurusan awal banjir,” hurainya lanjut.

    Terokai dunia dalam talian

    Beliau berhasrat untuk meneroka kunci-kunci utama dalam usaha meningkatkan kemampuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam meniti kemajuan liku-liku perniagaan secara menyeluruh lebih-lebih lagi memanfaatkan platform dalam talian selaras dengan situasi terkini.

    Itulah antara matlamat terhasilnya projek Key Success Factors to Converting an Offline Business to Online: A Case Study on MSME’s in Brunei Darussalam oleh Awang Mohd Yamin bin Abd Hamid selaku salah seorang pelajar sambilan tahun akhir dalam Jurusan Pengurusan Maklumat Perniagaan di UTB-SB.

    “Menyaksikan seluruh masyarakat terkesan dengan penularan krisis kesihatan, maka menerusi projek penyelidikan ini terdetiknya idea untuk mencari jalan penyelesaian dari detik-detik pengalaman yang ditempuhi oleh pelbagai industri yang terdiri dari 20 buah syarikat perusahaan dan perniagaan meliputi minuman dan makanan, perabot, fabrik, kenderaan, kelas tuisyen dan sebagainya di negara ini ketika bangkit berdepan dengan cabaran tersebut yang memaksa beralih kepada dunia dalam talian demi sama-sama melindungi,” ujarnya lanjut.

    Dalam pada itu, di akhir pertemuan, beliau antaranya menyarankan kita selaku masyarakat yang diiringi dengan dunia digital yang serba moden ini haruslah sentiasa bangkit untuk mengaplikasikan manfaat teknologi dalam kehidupan harian agar kita tidak ketinggalan jauh seperti di negara-negara lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...