Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Raja Kita peringkat Sarawak secara 3D

    KOTA SAMARAHAN, 5 SEPT – Orang ramai khususnya rakyat Bumi Kenyalang berpeluang menyaksikan Pameran Raja Kita dalam bentuk digital 3D sempena sambutan rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-17 peringkat Sarawak, bermula hari ini hingga 8 September.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata meskipun pameran itu tidak mempamerkan koleksi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah secara nyata, ia masih padat dengan maklumat serta latar belakang Seri Paduka Baginda berdua.

    “Saya dimaklumkan peralatan (seperti alat kebesaran diraja) boleh kita saksikan secara digital jadi kita dapati bahawa barangan itu (tidak dipamerkan di sini), mungkin ada peraturan yang tidak membolehkan kita melihat secara nyata peralatan tersebut.

    “Namun, saya percaya pameran yang dibawa dalam bentuk digital ini sudah mencukupi sebab kita boleh menatal (scroll) dan menyemak lewa (browsing) dengan melihat skrin yang disediakan kita selaku penganjur,” katanya pada sidang media Pameran Raja Kita, hari ini.

    Selain alat kebesaran diraja dan bidang kuasa Seri Paduka Baginda, pameran itu juga menyediakan infografik berkaitan biografi dan minat baginda berdua, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk mengenali lebih dekat pemimpin tertinggi negara.

    “Kita juga minta supaya salinan lembut atau pautan untuk pameran 3D itu disimpan agar ia boleh diakses oleh kita di Sarawak, sama ada melalui Jabatan Penerangan (JaPen) atau Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak,” kata Julaihi yang merupakan menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu di peringkat negeri.

    Pameran Raja Kita peringkat Sarawak turut mengetengahkan aktiviti menarik antaranya kuiz ‘Raja Kita dan Kenegaraan’ serta pertandingan bergendang dan nopeng.

    Sebelum ini, Julaihi dilaporkan berkata sejumlah 10,000 pengunjung dijangka menghadiri pameran berkenaan yang diadakan dengan kerjasama JaPen Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Jabatan Muzium Malaysia. – Bernama

    Hadirin mengambil peluang melihat koleksi dan item Institusi Yang di-Pertuan Agong pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai, di Kuala Lumpur, Malaysia. Penduduk Sarawak berpeluang untuk menyaksikan pameran berkenaan bagi peringkat Sarawak secara 3D bermula 5 hingga 8 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda