Pameran Regata 2018 tarik perhatian

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Jabatan Muzium-muzium turut memeriahkan acara Regata Brunei Darussalam 2018 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun, dengan menyediakan sebuah pameran di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan. Pameran yang diusahakan dengan kerjasama beberapa buah agensi itu membawa tema ‘Sungai Brunei – Penghubung Budaya Warisan Brunei’.

Penganjurannya antara lain bertujuan untuk menyebarkan mengenai Sungai Brunei sebagai wadah budaya warisan yang mengeratkan masyarakat melalui tradisi lumba perahu atau regata di Brunei Darussalam dan pada masa yang sama agar menghargai kepentingan pengetahuan mengenai Sungai Brunei.

Antara perisian Pameran Regata 2018 tersebut adalah keterlibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja dalam acara regata sejak tahun 2016 dan 2017, yang dipamerkan melalui tayangan filem dan keratan-keratan akhbar.

Antara yang dipamerkan pada pameran bertemakan ‘Sungai Brunei – Penghubung Warisan Brunei’ tersebut.

Selain itu, pameran turut mengetengahkan 22 lukisan hasil karya penuntut-penuntut Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

Beberapa koleksi muzium berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan di Sungai Brunei antaranya peralatan-peralatan menangkap ikan, pertukangan-pertukangan tangan dan model-model perahu yang digunakan di Negara Brunei Darussalam turut dipamerkan. Turut memeriahkan pameran berkenaan termasuk tunjuk ajar daripada pelukis-pelukis Jabatan Muzium-muzium kepada sekumpulan murid Tahun 4, Sekolah Menengah Chung Hwa untuk menghasilkan cenderamata berbentuk pengayuh dan keychain.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan pameran berkenaan yang dibukakan secara percuma untuk kunjungan bermula hari ini hingga 12 November 2018 dari 9 pagi hingga 4:30 petang setiap hari kecuali hari Jumaat yang dibuka dari 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2:30 petang hingga 4:30 petang.