Pameran Seni Lukis Diversiti 28 nov ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dengan hasrat untuk mengembangkan bakat dan minat orang ramai dalam bidang seni lukis khususnya generasi belia serta untuk menjadi platform dalam meningkatkan industri kreatif tempatan, Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan melancarkan Pameran Seni Lukis Diversiti 2020 di Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu pada 28 November ini.

Pada hari itu, majlis apresiasi bagi pegawai dan kakitangan serta penganugerahan pekerja contoh sempena Hari Muzium dan Hari Arkib Antarabangsa 2020 juga akan diadakan.

Acara itu diadakan bagi sama-sama menyambut Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2020 yang disambut setiap 18 Mei dan Hari Arkib Antarabangsa 2020 yang disambut setiap 9 Jun serta juga untuk memberikan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-muzium sama ada yang masih berkhidmat atau yang bersara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad dalam sidang media mengenai Pelancaran Pameran Seni Lukis Diversiti 2020 yang berlangsung di Bangunan Arkib Negara, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa acara itu juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai signifikan institusi muzium dalam melestarikan budaya warisan tempatan untuk generasi masa kini dan akan datang serta untuk memberikan kesedaran kepada generasi muda mengenai nilai bahan-bahan Arkib kepada pembangunan negara.

Pengiran Hajah Mahani (tengah) memberikan penerangan mengenai acara dan aktiviti yang akan diadakan semasa Pameran Seni Lukis Diversiti di Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu bermula 28 November nanti.

Pengiran Hajah Mahani menerangkan bahawa Pameran Seni Lukis Diversiti dilaksanakan oleh Bahagian Etnografi, Jabatan Muzium-muzium di mana tema pameran diselaraskan dan disesuaikan dengan tema yang ditetapkan oleh Majlis Muzium-muzium Antarabangsa (ICOM) iaitu ‘Muzium untuk Kesaksamaan: Diversiti dan Rangkuman’.

Manakala itu, tema yang telah ditetapkan oleh Majlis Arkib-arkib Antarabangsa (ICA) ialah ‘Memperkasa Masyarakat Berilmu’.

Sehubungan dengan itu, Pameran Seni Lukis Diversiti akan mempamerkan sebanyak 198 karya lukisan daripada 81 orang pelukis tempatan di mana pameran itu akan diadakan selama lima bulan hingga 28 April 2021.

“Lukisan-lukisan yang diterima akan dipamerkan dan ditukar mengikut kesesuaian pada setiap bulan untuk memastikan pameran ini mempunyai pengisian baharu dari semasa ke semasa,” jelas Pengiran Hajah Mahani lagi.

Pameran itu mengetengahkan hasil karya seni daripada 22 orang peserta kelainan upaya dari Pusat Ehsan dan Pusat Bahagia, 48 peserta dalam kalangan orang ramai serta 11 warga emas yang berumur dari 60 tahun hingga 80 tahun.

Pengiran Hajah Mahani turut mendedahkan semua karya seni yang akan dipamerkan, boleh dibeli oleh para penggemar lukisan yang berkunjung ke pameran itu.

Menurut beliau, majlis dan pelancaran pameran berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Di samping pameran itu, acara sambutan turut menyaksikan Pameran Tayangan Video Sejarah daripada Arkib Negara Brunei Darussalam di mana tayangan video itu dihasratkan untuk membangkitkan semangat nasionalisme diri dan pengetahuan di samping, ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai acara kekeluargaan memandangkan ia menggabungkan konsep hiburan dan pendidikan.