Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Pameran seni serlah pelajar berjiwa kreatif

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bagaikan butiran mutiara yang sentiasa berkilau, golongan belia telah dilihat sebagai tiang harapan sesebuah bangsa dan negara, lebih-lebih lagi dalam sama-sama menanai hasrat negara bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035 dan juga memartabatkan Negara Zikir berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

    Hadirnya golongan belia sebagai aset yang amat berharga dan tonggak serta kekuatan masa depan sesebuah negara, bukan hanya terletak pada kuantiti mereka sebagai sumber tenaga manusia semata-mata, namun pada prestasi kualiti, keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belia yang sentiasa bergerak secara positif dan proaktif yang membolehkan mereka menjana perkembangan negara.

    Sejajar dengan menyemarakkan matlamat sebagai usaha berterusan memperluaskan populasi anak muda berkemahiran dan berpengetahuan bagi menyokong industri kreatif tanah air, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) telah menganjurkan Pameran Seni VIBE ke-12 dan Minggu Media 2022 Kolej IGS di kampus kolej berkenaan, baru-baru ini.

    Serlah porfolio pelajar berjiwa kreatif

    Berkesempatan ditemui penulis, Ketua Akademik, Kolej IGS, Awang Hasnul bin Mohd Hamdani menjelaskan adapun acara berkenaan mempamerkan karya kreatif lebih kurang 50 orang pelajar tahun akhir dari empat fakulti iaitu Perniagaan, Teknologi Maklumat, Multimedia dan Penyiaran, dan Sastera dan Pengajian Am yang terbahagi kepada dua iaitu VIBE untuk pameran seni kreatif dan Minggu Media untuk penyiaran dan produk berkaitan media.

    Tambahnya, bersatunya para pelajar di bawah sebuah platform pameran sedemikian sememangnya membuktikan bahawa dalam persada tanah air, kita juga memiliki golongan pelajar yang berbakat dan berkemahiran dalam bidang pengkhususan pengetahuan seni kreatif yang bervariasi dan inilah perkembangan yang begitu positif dapat dilihat dari tahun ke tahun.

    Dayang Siti Nurin Jazlina bersama salah satu hasil projek tahun akhir beliau yang berasaskan minyak wangi yang diketengahkannya semasa berlangsungnya acara tersebut.
    Dayang Erna Rosaffillah teruja menyaksikan kredibiliti golongan pelajar terlibat yang sememangnya di luar dari jangkauan sebenar.
    Awang Muhd Nuur Siraaj mengongsikan rekaan fesyen streetwear berkonsepkan gaming vibe yang menjadi projek tahun akhir pengajiannya.

    “Bermula dari asas teori yang para pelajar peroleh sehingga ke sesi praktikal sepanjang meniti pengajian di Kolej IGS, inilah hasil kerja keras dan dedikasi mereka terhadap jurusan yang mereka terokai.

    “Pastinya menerusi pameran ini juga bertujuan bagi mengembang luaskan pemikiran mereka sehingga mampu menjadi insan-insan yang lebih inovatif, kreatif dan berpandangan jauh sekali gus sebagai persiapan atau sumber portfolio mereka masing-masing sebelum melangkah ke dunia kerjaya yang sebenar,” luahnya penuh harapan.

    Pentingnya elemen MIB dan etika media

    Menyentuh mengenai nilai-nilai terpenting dalam meniti pelbagai industri seni kreatif, Awang Hasnul turut menekankan di Kolej IGS salah satu perkara yang menjadi keutamaan mereka ialah penerapan elemen MIB dalam segala tindak-tanduk penghasilan karya kreatif sama ada dari segi perfileman mahu pun sentuhan produk barangan atau perkhidmatan yang diketengahkan.

    “Biarlah setiap apa yang diserlahkan kepada orang awam itu termasuklah dalam aspek komunikasi itu sentiasa diadun dengan elemen MIB agar karya-karya yang ditonjolkan itu semakin indah dipandang dan dihayati.

    “Ia juga selaras dengan menitikberatkan etika-etika dalam bidang media yang betul secara menyeluruh meliputi aspek berpakaian, pembuatan skrip, teknik penggambaran dalam fotografi dan videografi, penggunaan seni paparan visual mahu pun audio yang bersesuaian dan sebagainya,” ujarnya lanjut.

    Menjentik jiwa generasi baharu

    Sementara itu, keterujaan penuh kesyukuran diluahkan oleh Pensyarah Multimedia dan Penyiaran, Kolej IGS, Dayang Erna Rosaffillah binti Haji Roslan, apabila menyaksikan kredibiliti golongan pelajar yang terlibat menerusi Minggu Media 2022, terdiri daripada beberapa aktiviti seperti muzium media, gaming dan festival filem itu sememangnya di luar jangkauan yang sebenar. Ia jelas membuktikan kemampuan mereka menampilkan karya-karya mengandungi sentuhan yang hebat dengan paparan visual yang memiliki makna yang begitu mendalam apabila diteliti bersama, katanya

    Beliau selaku ketua bahagian pemasaran kolej berkenaan turut berharap dengan adanya acara sedemikian, adalah menjadi harapan tulusnya agar ia mampu menjadi platform pencetus sinar perkongsian pengalaman dan menjentik jiwa generasi baharu yang bakal melangkah ke institusi pengajian tinggi untuk meminati industri kreatif seperti dalam bidang pembikinan perfileman suatu hari nanti demi sama-sama mengorak langkah membangun negara selaras dengan wawasan negara 2035.

    Sentuhan fesyen streetwear ala gaming

    Salah seorang pelajar dalam jurusan Diploma in Graphic Design Technology, Awang Muhd Nuur Siraaj bin Haji Rosanan mengongsikan rekaan fesyen streetwear berkonsepkan gaming vibe menjadi karya sentuhan produk bagi projek tahun akhir pengajiannya.

    “Pastinya sebelum menghasilkan karya produk ini, saya banyak melakukan kajian dan pembacaan serta penelitian trend golongan muda khususnya komuniti gamer yang semakin aktif pada masa kini sehingga terdetiknya ilham untuk mereka bentuk ilustrasi grafik potret berciri khas animasi games untuk dijadikan paparan pada baju fesyen santai dengan menggunakan bahan yang berkualiti dan harga mampu milik untuk para penggemarnya,” jelasnya.

    Keunikan minyak wangi Asmara dan Kasih

    Selain itu, sentuhan produk berasaskan minyak wangi di bawah jenama Jalin turut menjadi tarikan salah satu projek tahun akhir yang diketengahkan oleh Dayang Siti Nurin Jazlina binti Abdul Hajis yang juga selaku pelajar jurusan Diploma in Graphic Design Technology.

    “Menerusi karya produk ini, saya hanya menggunakan teknik kreativiti mengadun variasi minyak wangi yang sedia ada di pasaran dengan sukatan-sukatan tertentu untuk menghasilkan penciptaan aroma yang baharu lagi unik dan menarik,” ujarnya.

    Kongsinya lagi di akhir pertemuan, terdapat dua jenis minyak wangi yang dihasilkan yang diberi nama Kasih lebih kepada aroma vanila manakala sentuhan produk minyak wangi yang lebih menggabungkan aroma yang mampu memberi suasana yang elegan kepada pemakainya terutama bagi para jejaka itu dikenali dengan nama Asmara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...