Pameran serlah kreativiti, inovasi pelajar

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pameran Seni dan Multimedia VIBE Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) membuka tirai hari ini di Galeri Ku, KIGS.

Berikutan langkah de-escalation dilaksanakan secara berperingkat disebabkan wabak COVID-19, VIBE yang kali ke-8 ini diadakan pada skala yang lebih kecil. Hadir untuk menyaksikan pameran tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif kolej tersebut, Dr Azaharaini bin Haji Jamil.

Ketua pegawai eksekutif KIGS dalam ulasan ringkasnya kepada Media Permata menyatakan rasa gembiranya melihat pameran tersebut diadakan walaupun pada skala yang lebih kecil namun sangat berbeza dengan yang sebelumnya memandangkan para pelajar lebih berani menggunakan bahan baharu untuk mencurahkan kreativiti mereka dalam projek masing-masing.

Dr Haji Azaharaini menambah bahawa beliau berasa gembira melihat perkembangan dalam edisi kali ini terutamanya dari segi teknik dan bahan yang digunakan.

“Jabatan IT juga terlibat dalam pameran ini dan kami berharap ini akan berkembang luas dan lebih banyak bahan baharu dipamerkan,” katanya.

Antara karya pelajar yang diketengahkan semasa Pameran Seni dan Multimedia VIBE Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) yang membuka tirai di Galeri Ku, KIGS, kelmarin.
Dr Azaharaini semasa melawat pameran tersebut yang diadakan di Galeri Ku, KIGS.
Antara karya-karya yang dipamerkan pada Pameran Seni dan Multimedia VIBE KIGS ke-8.
Dr Azaharaini bergambar ramai bersama pelajar-pelajar yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Akademik, Haji Hasnul bin Hamdani menyatakan bahawa pameran itu adalah tugasan terakhir para pelajar yang menonjolkan inovasi dan kreativiti pelajar.

Pameran tersebut menampilkan sejumlah 46 karya pelajar dengan objektif untuk menerbitkan karya kreatif agar mereka dapat mengembangkan dan mempamerkan kreativiti masing-masing.

Mereka terdiri daripada empat pelajar dari Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kejuruteraan Perisian (Soft-ware) dengan Multimedia, enam pelajar Asas (Foundation) dalam Reka Bentuk, lapan pelajar Diploma Periklanan, Multimedia dan Penyiaran, tujuh pelajar Diploma Teknologi Reka Bentuk Grafik, 15 pelajar Sijil Seni dan Reka Bentuk dan enam pelajar Pensijilan dalam Produksi Media Elektronik.

Pameran bertujuan untuk mempromosikan, menyokong, menghubungkan dan me-rangsang industri kreatif bagi meningkatkan ekonomi tempatan negara, mengembangkan pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat Brunei. Ia berfungsi untuk mewujudkan serta menghidupkan kembali semangat ekonomi dengan vibe tempatan yang luar
biasa, terutama semasa COVID-19.

Pameran itu juga bertujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada dunia pekerjaan, melatih pelajar mengenai profesionalisme dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang dapat membantu meningkatkan pekerjaan serta melatih pelajar untuk menerima dan mencerna kritikan memandangkan mereka akan dinilai semasa sesi Gallery Talk.

Salah satu acara kemuncak dalam pameran adalah video dokumentari yang dihasilkan oleh lapan Pelajar Diploma Periklanan, Multimedia dan Penyiaran.

Mereka menghasilkan video dokumentari sebagai projek kumpulan di mana mereka ditugaskan untuk mengembangkan topik-topik dokumentari berdasarkan tema yang dipilih pada semester kali ini, iaitu kesihatan dan kesedaran sejajar dengan pandemik COVID-19. Dokumentari dihasilkan dalam 15 minggu sebelum dibentangkan di pameran berkenaan.

Pelbagai produk karya seni dan media digital yang dihasilkan oleh pelajar tahun akhir yang menjalani program peringkat asas (foundation), diploma dan pensijilan di bawah Fakulti Sastera dan Kemanusiaan dan Fakulti Multimedia dan Penyiaran dipamerkan di pameran tersebut.

Pameran di bawah tajaan utama Guerilla Artchitects ini dijadual berlangsung sehingga akhir Ogos dan dibuka kepada orang ramai.