Pan Borneo jajaran Julau dijangka buka Nov

JULAU, 28 OKT – Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Julau dijangka dibuka secara rasminya November ini, menurut Pengurus Projek Pakej Kontrak Kerja 07 (WPC07) Pejabat Zon Tengah, Unit Lebuh Raya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya Sarawak SyahruI Ismadi Ismail hari ini.

Syahrul Ismadi berkata jajaran bermula dari KM1+500 selepas Simpang KJD and Institut Perguruan Rajang hingga ke KM28+500 sebelum Jambatan Sungai Jikang itu kini di fasa akhir untuk mendapatkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).

“Jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang telah siap dibina dan CPC akan dikeluarkan kepada kontraktor utama tidak lama lagi,” katanya sambil menambah laluan empat lorong dua hala telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam pada 20 Okt lepas. – Bernama