PETALING JAYA, 15 NOV – Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon, berharap akan ‘kebanjiran’ penyokong setia Harimau Malaya semasa perlawanan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Beliau berkata sokongan padu daripada peminat tempatan adalah penting dalam perlawanan ini yang dianggapnya sangat penting bagi pasukan Harimau Malaya dalam usahanya untuk layak ke pusingan ketiga.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata kelebihan bermain di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja oleh pemain tetapi juga penyokong untuk menimbulkan rasa gerun bagi mana-mana lawan sebelum pasukannya menentang The White Falcons di tempat lawan tahun depan.
“Jika awda mahu ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia, perlawanan ini adalah penting bagi kita. Tanpa sokongan awda, kita tidak boleh berbuat apa-apa, kita mahu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri sepenuhnya dan setiap penyokong perlu datang untuk mencipta persekitaran terbaik,” ujarnya. – Bernama