Saturday, October 12, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panama putuskan hubungan dengan Taiwan

    BEIJING, 13 Jun – Panama menjadi negara terbaru meninggalkan Taiwan apabila mengumumkan hubungan diplomatik dengan China hari ini untuk menjalin hubungan yang lebih rapat dengan kuasa kedua ekonomi global itu.

    Langkah itu mencetuskan kemarahan Taiwan dan mungkin mengeruhkan lagi hubungan Taipei dan Beijing, yang menganggap pulau memerintah sendiri itu sebagai wilayah berpaling tadah dan menunggu penyatuan semula dengan tanah besar.

    Taiwan diiktiraf sekitar 20 buah negara di seluruh dunia dan statusnya merupakan salah satu isu paling sensitif dari segi politik kepada pemimpin China yang memberi tekanan kepada rakan perdagangannya untuk menerima prinsip ‘satu China’.

    Presiden Panama Juan Carlos Varela dalam mesej yang disiarkan melalui televisyen ke seluruh negara dan dunia berkata, ‘Panama dan China menjalin hubungan diplomatik hari ini’.

    Kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama berkata: “Memandangkan kepentingan dan kehendak kedua-dua negara, Panama dan China memutuskan untuk memberikan satu sama lain, dari tarikh dokumen ini ditandatangani, pengiktirafan bersama dan penubuhan hubungan diplomatik pada peringkat duta.”

    Isabel de Saint Malo (kiri) berjabat tangan dengan Wang Yi semasa bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian hubungan diplomatik di Beijing, kelmarin. – AFP
    Isabel de Saint Malo (kiri) berjabat tangan dengan Wang Yi semasa bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian hubungan diplomatik di Beijing, kelmarin. – AFP

    Selepas berdekad-dekad menyebelahi Taiwan dalam perbezaan pendapat mengenai statusnya, Panama kini ‘mengakui hanya ada satu China di dunia’ dan Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya.

    Menteri Luar China Wang Yi dan rakan sejawatannya dari Panama Isabel Saint Malo de Alvarado menandatangani kenyataan itu di Beijing.

    “Ini adalah detik bersejarah, hubungan China dan Panama telah membuka lembaran baru,” kata Wang sambil menambah keputusan Panama adalah ‘lengkap’ selaras dengan kepentingan rakyat dan masa’.

    Saint Malo berkata, Panama dan China telah membuat satu ‘langkah penting’ dan memulakan ‘halaman baru dalam hubungan strategik kami’.

    Pengumuman itu dibuat selepas Beijing memulakan pembinaan sebuah pelabuhan kontena dengan kemudahan gas asli di wilayah Colon, minggu lepas. Panama telah lama menegaskan ia mempunyai hubungan diplomatik dengan Taipei dan hubungan komersial dengan Beijing.

    Kapal China, selepas Amerika Syarikat, adalah pengguna nombor dua Terusan Panama yang menjadi sumber utama hasil belanjawan negara Amerika Tengah itu.

    Panama adalah negara terbaru memutuskan hubungan dengan Taiwan dan mungkin bukan negara terakhir, kata Carl Thayer, Profesor Emeritus politik di Kolej UNSW Canberra di Australia.

    “Perubahan yang mewakili trend jangka panjang pereputan atomik di mana negara-negara yang mengiktiraf Taiwan satu demi satu beralih ke tanah besar. Ia adalah soal siapa yang paling banyak memberi. Taiwan mempunyai sumber tetapi tidak dapat menandingi China,” kata Thayer.

    Pada bulan Disember China menandatangani perjanjian memulihkan hubungan diplomatik dengan Sao Tome dan Principe selepas negara Afrika tersebut meninggalkan Taiwan sehingga mencetuskan kemarahan pulau itu.

    “Kami benar-benar mengutuk Beijing kerana memanipulasi dasar ‘satu China’ untuk terus menindas ruang angkasa antarabangsa Taiwan melalui pelbagai cara,” kata pejabat presiden.

    “Tindakan seperti ini bukan sahaja ancaman terbuka kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat Taiwan tetapi provokasi terbuka kepada keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan dan rantau ini.”

    Ketegangan diplomatik antara Taiwan dan Beijing mula kendur di bawah kerajaan mesra Beijing sebelum ini. Tetapi hubungan tegang semula semenjak China mencurigai Parti Demokratik Progresif Presiden Tsai Ing-wen yang menang besar pada pilihan raya tahun lepas.

    Tsai enggan mengakui konsep Taiwan adalah sebahagian daripada ‘satu China’ seperti pendahulu beliau Ma Ying-jeou.

    Ketegangan rentas selat diburukkan lagi dengan tindakan luar biasa Tsai mengucapkan tahniah kepada Donald Trump sehingga China mempersoalkan dasar Washington terhadap pulau itu termasuk keputusannya secara tidak secara rasmi tidak mengiktiraf kerajaan Taiwan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda