Panama tahan 1,700 migran di kem hutan

BANDAR PANAMA, 19 APRIL Kira-kira 1,700 pendatang haram dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) sedang ditahan dalam kem di hutan oleh pihak berkuasa Panama selepas beberapa kes koronavirus dikesan di kalangan mereka, kata sumber rasmi.

Mereka ditahan di La Penita, berhampiran dengan sempadan Colombia, dalam kem yang bertujuan menempatkan kira-kira 200 orang.

“Tujuh belas migran telah dijangkiti koronavirus,” kata sumber rasmi dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Orang yang dijangkiti telah pun dipindahkan dari kem. Kakitangan Palang Merah terpaksa meninggalkan kawasan itu untuk dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan seorang pegawai polis tempatan yang meninggal dunia akibat koronavirus, kata Walter Cotte, pengarah serantau Persekutuan Palang Merah Antarabangsa untuk Amerika.

Di Panama, yang mempunyai 4,273 jangkitan koronavirus dan 120 kematian, pendatang dirawat di tiga pos sempadan sementara di mana kerajaan, UNICEF dan Palang Merah memberikan mereka air, makanan dan rawatan perubatan. – AFP