Panamera baharu masuki pasaran Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – QAF Eurokars Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Porsche di Brunei, kelmarin, telah memperkenalkan Panamera baharu dan Panamera 4 Executive kepada media tempatan.

Pembaharuan yang dinanti-nantikan sejak peningkatan kedua pada 2016, Porsche Panamera 2021 secara rasmi tersedia di Brunei dan Panamera 4 Executive dilihat untuk pertama kalinya di negara ini pada pelancaran media di Porsche Center Brunei baharu, di Beribi.

Dengan Panamera Turbo S 463 kW (630 PS), pengeluar kereta sport itu berjaya menyokong tuntutannya untuk prestasi terbaik dalam kelasnya. Model terbaik dalam barisannya yang baharu itu me-ningkatkan prestasi Panamera Turbo sebelumnya dengan margin yang jelas.

Porsche juga meneruskan strategi E-Performance dengan Panamera 4S E-Hybrid, tambahan baharu untuk rangkaian hibrid plug-in, yang menawarkan sistem pemacu yang baharu sepenuhnya dengan output 412 kW (560 PS).

Pengurus Besar Porsche Brunei, Lahiru De Silva dipetik sebagai berkata, “Panamera adalah ikon kereta sport empat pintu dalam kalangan peminat Porsche yang mencari keseimbangan antara premium, prestasi yang sangat baik dan keselesaan mewah, sejak pertama kali dilancarkan pada 2009.

“Dalam bidang reka bentuk dan kejuruteraan, Porsche Panamera generasi pertama masih merupakan fenomena luar biasa walaupun 10 tahun selepas diperkenalkan,” tambah beliau.

Kenyataan menyatakan, Panamera dan Panamera 4 baharu itu kini dilengkapi dengan enjin V6 biturbo 2.6 liter di semua pasaran di seluruh dunia. Menjana 243 kW (330 PS) dan 450 Nm, prestasinya tetap tidak berubah.

Ciri-ciri lain termasuk bantuan letak kenderaan seperti Surround View, Lane Change Assist, Lane Keeping Assist, Ambient lighting, Soft Close Doors, Driver Memory Package dan Power Steering Plus.

Selain salon sport, model-model Panamera baharu itu juga boleh didapati sebagai Sport Turismo atau Eksekutif dengan jarak roda dipanjangkan, bergantung pada sistem pemanduan.

Kesemuanya kini dilengkapi dengan Sport Design di bahagian depan yang sebelumnya menjadi pilihan.

Lahiru De Silva, Pengurus Pemasaran Porsche Brunei, Sherly Tan dan Pengurus Jualan Porsche Center Brunei, Ampuan Mohd Anwar bin Ampuan Dr Haji Brahim bergambar bersama Porsche Panamera dan Panamera 4 Executive.
Ruang dalam Panamera baharu yang tampil mewah, moden dan serba canggih.