Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Panas selepas banjir di Kentucky

    FRANKFORT, 2 OGOS – Hujan yang membawa banjir besar kepada komuniti pergunungan Appalachian reda hari ini, namun mangsa-mangsa banjir berdepan ancaman baharu: kepanasan ketika mereka cuba pulih daripada banjir.

    “Ia akan jadi benar-benar panas. Dan inilah cabaran cuaca kami sekarang,” kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear pada taklimat bencana pagi ini.

    Angka kematian kekal 37 orang selepas lebih banyak mayat ditemui dalam runtuhan landskap, meskipun lebih 1,300 orang diselamatkan, anggota penyelamat masih cuba mencapai orang-orang yang terputus hubungan akibat banjir atau tanah runtuh, katanya. Beratus-ratus lagi belum dikira dan jumlah itu seharusnya menurun sebaik sahaja perkhidmatan telefon kembali pulih dan orang ramai boleh memberitahu mereka selamat.

    “Keadaan sangat menyedihkan di luar sana. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina semula. Orang ramai kehilangan harta benda dan tinggal sehelai sepinggang. Rumah-rumah pula ada yang terus lenyap dan kami menemui mayat saudara-saudari kami,” kata Beshear.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran bahawa hujan dan ribut taufan bergerak perlahan boleh mencetuskan lebih banyak banjir kilat sepanjang pagi ini dengan laluan perairan masih lagi dilimpahi air selepas hujan lebat pada Ahad lalu, ketika ia dilanda banjir bersejarah. Komuniti di sempadan negeri Virginia dan West Virginia turut berhadapan gangguan bekalan kuasa.

    Dengan ramalan cuaca ekstrem dan bekalan elektrik lambat dipulihkan, stesen penyejukan juga dipasang di bangunan yang tidak terjejas banjir ketika lebih 9,600 pelanggan masih tidak mendapat bekalan elektrik di timur Kentucky, kata Beshear.

    “Dengan kepanasan bakal menjelma, kami menyeru pemasangan stesen penyejukan dan ia sudah dipasang tepat pada waktunya sebelum kepanasan berlaku. Kita mungkin buat kali pertama, lebih laju bertindak,” katanya. – AP

    Sebuah lori dihanyutkan air banjir di Troublesome Creek berhampiran Main Street, Kentucky. Banjir sudah mula reda namun komuniti di pergunungan Appalachian, Kentucky berdepan cuaca panas dan gangguan elektrik yang menjejaskan pemulihan mereka. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...