Pancaragam meriahkan Bandarku Ceria

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Suasana pagi di Bandar Seri Begawan bertambah ceria dengan alunan muzik yang menarik dan menawan yang dipersembahkan oleh pancaragam The Band of the Brigade of Gurkhas yang membuat persembahan bertenaga bagi para pengunjung semasa Program Bandarku Ceria di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Persembahan menarik dan menambat hati para pengunjung ke Bandar Seri Begawan itu merupakan salah satu daripada acara yang diadakan semasa Festival Disember Brunei 2019.

Hadir untuk sama-sama menyaksikan persembahan daripada kumpulan pancaragam berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay; pegawai-pegawai dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam.

Kumpulan pancaragam seramai 32 orang, Brigade of Gurkhas diterbangkan ke Negara Brunei Darussalam bagi meraikan ulang tahun ke-25 tahun, Royal Gurkhas Rifles (2RGR) yang berpangkalan di Seria.

Semasa persembahan itu, kumpulan pancaragam berkenaan, bergerak ke tengah Bandar Seri Begawan melintas Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan menghiburkan para pengunjung dengan lagu-lagu popular dan terkenal daripada filem seperti Skyfall, tema lagu filem James Bond, Game of Thrones, Last of the Mohicans dan lagu-lagu tentera yang terkenal.

Kumpulan pancaragam berkenaan telah mengadakan persembahan di seluruh dunia termasuk mengadakan lawatan di Australia, Kanada, Korea Selatan, Kepulauan Falkland, Perancis, Jerman, Cyprus dan Belgium.

Pancaragam berkenaan telah menghiburkan orang ramai dengan gerak barisan mereka yang pantas dan menarik, muzik yang menawan serta lagu-lagu etnik Nepal yang memukau penonton.

Kumpulan berkenaan akan mengadakan lawatan dan persembahan antarabangsa mereka seterusnya di Nepal.

Kumpulan Pancaragam Brigade of Gurkhas membuat persembahan yang menarik dan menawan para penonton semasa Program Bandarku Ceria di Bandar Seri Begawan.
Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan bertenaga daripada pancaragam Brigade of Gurkhas.