ANGOULEME, PERANCIS, 29 JAN – Artis dan penulis Switzerland, Martin Panchaud kelmarin memenangi Fauve d’Or untuk album terbaik tahun ini di Festival Komik Antarabangsa Angouleme yang berprestij di Perancis.
Bukunya, ‘The Color of Things’, menceritakan kisahnya menggunakan kod permainan video, dengan watak yang diwakili oleh bulatan berwarna. Ia pada asalnya diterbitkan dalam bahasa Jerman.
Awal minggu ini, kartunis Franco-Syria, Riad Sattouf meraih anugerah tertinggi festival itu, Grand Prix, untuk siri autobiografinya ‘The Arab of the Future’.
Dengan perayaan tahun ini meraikan edisi ke-50nya, hadiah istimewa diberikan kepada Hajime Isayama dari Jepun, pengarang siri manga terlaris global, ‘Attack on Titan’.
Siri 34 jilid itu telah terjual lebih daripada 100 juta salinan di seluruh dunia sejak volum pertama muncul pada tahun 2009.
Rakan pencipta manga dari Jepun, Ryoichi Ikegami dan Junji Ito menerima anugerah kehormat pada festival itu, yang menampilkan karya mereka.
Buku komik berkembang pesat di Perancis. Firma penyelidikan pasaran, GfK berkata jualan pada 2022 buat kali pertama menyumbang lebih daripada 25 peratus berbanding jumlah pasaran jualan buku. – AFP