Pancing ikan guna peralatan yang sesuai

Oleh Raz AS

Rezeki tidak pernah salah alamat kerana ia adalah ketentuan Ilahi, kalau sudah rezeki pasti tidak akan ke mana. Meski hanya dengan seutas tali pancing dan mata kail yang diikat di hujungnya tanpa umpan yang saja-saja dicampak ke air, ikan boleh saja dinaikkan.

Ini tidak mustahil kerana pernah terjadi kepada rakan penulis sendiri. Pancing yang dilabuh tanpa umpan kerana ingin menduga kedalaman air tiba-tiba diragut oleh si ikan ketambak.

Di dalam dunia memancing tanda harga bukanlah penentu kejayaan melainkan ia adalah rezeki masing-masing. Namun begitu kita tidak seharusnya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa adanya usaha dan ikhtiar kerana Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk berusaha.

Salah satu usaha dan ikhtiar yang boleh kita lakukan dalam dunia memancing selain dengan mencari lubuk dan turun memancing adalah dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian untuk ikan atau spesies yang kita buru.

Kalau memancing ikan sama ada kecil atau besar peralatannya adalah sekian-sekian, kalau untuk memancing udang galah pula peralatannya adalah sekian-sekian, tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi peluang kita untuk memperoleh buruan yang diidam-idamkan.

Jumlah ring atau guide yang terdapat pada joran juga menjadi faktor yang penting kepada kelancaran tali keluar untuk ketepatan lontaran yang dilakukan. – Agensi
Kebanyakan pemegang joran diperbuat daripada bahan gabus atau EVA untuk keselesaan dan tidak licin dalam genggaman. – Agensi
Kebanyakan joran diperbuat daripada bahan graphite atau fiberglass. Secara umumnya joran yang diperbuat daripada graphite menjadi pilihan ramai pemancing kerana ia lebih sensitif dalam mengesan getuan ikan, namun ia lebih mudah patah berbanding joran lain. – Agensi

Selain itu, aspek keselesaan kita menggunakan peralatan memancing tersebut juga perlu diambil kira terutama jika kita akan menggunakannya dengan kerap dan untuk tempoh yang lama.

Oleh yang demikian di sini penulis ingin menyentuh sedikit beberapa aspek mengenai salah satu peralatan pancing iaitu joran, semoga ia boleh memberi idea kepada pembaca untuk membuat pilihan sendiri.

Joran adalah salah satu peralatan pancing yang penting untuk membantu pemancing melabuhkan umpan ke dalam air dengan tepat dan jauh serta untuk menewaskan ikan. Walau bagaimanapun hakikatnya tidak semua joran adalah sama, bukan sahaja berbeza dari segi panjangnya dan gayanya bahkan juga pada komponennya.

Pertama adalah bahagian pemegangnya atau handle. Kebanyakan pemegang joran diperbuat daripada bahan gabus atau EVA untuk keselesaan dan tidak licin dalam genggaman. Pemegang joran direka dengan panjang yang berlainan, pemegang yang panjang lebih sesuai untuk lontaran jauh yang buat dengan kedua belah tangan, manakala pemegang pendek pula lebih sesuai untuk lontaran dekat dan cepat.

Selain itu pemegang joran juga boleh didapati dalam bentuk split grip yang ringan dan selesa untuk melakukan lontaran berulang-ulang dan pistol grip untuk lontaran yang tangkas dan tepat, namun begitu salah satu kelemahan pistol grip adalah ia memberi tekanan yang berat terhadap pergelangan tangan pemancing ketika melawan ikan besar dan joran boleh saja terlepas dari genggaman ketika menahan asakan ikan.

Kedua adalah pemegang real atau reel seat, iaitu tempat reel dipasangkan. Reel seat joran datang dalam berbagai-bagai bentuk dan jenis mengikut jenis joran, sama ada anda membeli joran untuk kaedah spinning, casting, fly atau multiplier yang pastinya sesuaikan saiz reel anda dengan reel seatnya, pastikan ia tidak longgar dan muat bagi mengelakkan ia terlepas dari tempatnya.

Ketiga, ring joran atau guide di mana tali pancing akan dilarikan. Kebanyakan guide diperbuat daripada plastik, besi atau seramik. Guide yang diperbuat daripada seramik selalunya lebih ringan dan tahan untuk digunakan bersama tali braided berbanding guide yang diperbuat daripada bahan lain, namun begitu ia selalunya didapati dipasangkan pada joran yang berharga mahal.

Jumlah ring atau guide yang terdapat pada joran juga menjadi faktor yang penting kepada kelancaran tali keluar untuk ketepatan lontaran yang dilakukan. Bahkan ia juga memainkan peranan yang penting kepada persembahan keseluruhan joran tersebut ketika melawan ikan.

Semakin banyak jumlah guide yang ada pada sesuatu joran itu, lebih seimbang lenturannya dan lebih tepat lontaran yang boleh dilakukan.

Keempat pula adalah komposisi joran. Kebanyakan joran diperbuat daripada bahan graphite atau fiberglass. Secara umumnya joran yang diperbuat daripada graphite menjadi pilihan ramai pemancing kerana ia lebih sensitif dalam mengesan getuan ikan. Akan tetapi ia lebih mudah patah berbanding joran lain. Joran yang diperbuat daripada fiberglass lebih tahan pukul namun sedikit lebih berat. Ada juga joran yang diperbuat daripada gabungan keduanya untuk digunakan dalam kondisi dan situasi memancing yang berbeza-beza.

Akhir sekali, kekuatan (power) dan aksi (action) joran. Power adalah klasifikasi kekuatan yang digunakan untuk melenturkan joran, daripada ultralight untuk ikan kecil sehinggalah ke ultraheavy untuk pancingan laut dalam.

Manakala aksi joran pula merujuk kepada aksi lenturan sesuatu joran itu. Bagi aksi slow joran akan melentur bermula dekat dengan bahagian pemegangnya. Manakala joran aksi fast pula lenturan akan berlaku pada bahagian 1/3 hujung joran.

Untuk lontaran yang menggunakan bahan terminal atau lure yang berat dan di kawasan yang berstruktur joran aksi fast adalah lebih sesuai digunakan kerana bahagian pangkalnya yang karau akan menyenangkan pemancing menarik keluar ikan dari kawasan tersebut.