Panda di Thailand mati akibat serangan jantung

BEIJING, 9 OKT – Seekor panda gergasi yang mati mengejut di Thailand dan mencetuskan kemarahan di China bulan lalu disahkan berpunca daripada serangan jantung, menurut agensi kerajaan China.

China telah menghantar pasukan pakar ke Thailand selepas Chuang Chuang berusia 19 tahun itu mati di Zoo Chiang Mai pada 16 September lalu. Panda boleh hidup selama 30 tahun dalam kurungan.

Chuang Chuang telah diletakkan dalam kurungan berhawa dingin bersama pasangannya, Lin Hui.

Pasangan panda gergasi itu dipinjamkan oleh bandar Chengdu sebagai sebahagian daripada ‘diplomasi panda’ dan sepatutnya dipulangkan semula pada tahun 2023.

Kematian Chuang Chuang turut menjadi topik trending dalam platform media sosial popular di China, Weibo yang mana ramai pengguna membincangkan tentang ‘keadaan mencurigakan’ berhubung kematiannya.

Para pengguna mengkritik zoo itu memberinya makan buluh matang yang biasanya keras dan digunakan untuk membuat perabot, walaupun ia masih belum jelas jika gambar yang dikongsi itu adalah Chuang Chuang.

Selepas menjalani autopsi, kumpulan pakar bersama Thailand dan China membuat kesimpulan bahawa tiada tanda trauma pada badan panda tersebut dan tiada tanda asing pada trakea haiwan terbabit, kata Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput China dalam akaun Weibo mereka kelmarin. – AFP