CHENGDU, April 29 – Sepasang panda raksasa berlepas ke Moscow pada Isnin untuk tujuan penyelidikan selama 15 tahun di Rusia, lapor agensi berita Xinhua.
Ru Yi, panda jantan lahir pada 2016 manakala Ding Ding panda betina dilahirkan pada 2017, dijadual berlepas pada 1.45 petang dari Chengdu dan tiba di Moscow pada 10 malam (waktu Beijing) hari yang sama.
Menurut pusat penyelidikan panda berpangkalan di wilayah Sichuan, turut sama dalam penerbangan itu ialah Wang Pingfeng yang bertindak sebagai penjaga dan pegawai veterinar He Ming.
“Tugas saya adalah untuk memastikan kedua-dua panda itu tenang sepanjang perjalanan selain memastikan panda terbabit dapat menyesuaikan dengan kehidupan baharu di Moscow,” kata Wang.
“Ru Yi kelihatan ceria dan bersemangat, tetapi Ding Ding banyak diam, kami telah melakukan pemeriksaan untuk memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik,” kata He Ming.
Pasangan panda gergasi itu akan tinggal di Zoo Moscow selama 15 tahun.
Pada 28 Februari, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China dan Zoo Moscow memeterai perjanjian mengenai perlindungan dan penyelidikan kerjasama panda gergasi.
Zoo Moscow telah menghantar penjaga sepenuh masa dan doktor haiwan ke China untuk mempelajari mengenai pembiakan dan rawatan panda gergasi. – Bernama