Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    ‘Panda jadi sebahagian ahli keluarga’

    KUALA LUMPUR – Ketika kebanyakan haiwan di Zoo Negara Malaysia di pinggir Kuala Lumpur masih tidur pada awal pagi, pantri di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) sudah kelihatan terang benderang, di mana penjaga panda Ak- mal Hadi Samsuddin telah memulakan hari kerjanya dengan menyediakan sarapan pagi untuk keluarga panda.

    Buluh segar adalah makanan asasi manakala epal, pir dan rebung dicuci, ditimbang dan dipotong-potong untuk diletakkan di atas pinggan. Terdapat juga ‘kek’ panda yang diperbuat daripada telur, kacang soya, jagung, beras, gula, garam, serbuk kalsium dan minyak jagung.

    “Kami biasanya merasa kek sebelum memasukkannya ke dalam ketuhar,” kata Akmal, sambil menambah bahawa mereka perlu menyediakan enam hidangan setiap hari untuk keluarga panda, termasuk ayah panda bernama Xing Xing, ibu panda bernama Liang Liang, dan dua ekor anak betina pasangan panda itu, Yi Yi dan Sheng Yi.

    Rutin harian untuk penjaga juga termasuk membersihkan bilik panda, memeriksa badan mereka, melatih dan membawa mereka bertemu pengunjung dan menyelenggara pusat pemuliharaan, dan lain-lain, yang biasanya berlangsung sehingga makan terakhir panda pada pukul 9 malam.

    Bagaimanapun, Akmal yang digelar ‘Panda’s Nanny Daddy’ di media sosial mendapati kegembiraan dalam kesibukan kerjanya.

    Penjaga panda gergasi Akmal Hadi Samsuddin menyediakan makanan untuk panda gergasi. – Xinhua
    Akmal Hadi Samsuddin memeriksa keadaan gigi panda. – Xinhua
    Kelihatan Akmal Hadi Samsuddin dan rakannya menyediakan buluh untuk makanan panda gergasi. – Xinhua
    Akmal Hadi Samsuddin ketika ditemui di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara Malaysia. – Xinhua

    “Kami tidak menganggapnya sebagai pekerjaan. Sebaik sahaja kami melihat panda, kami gembira kerana ia adalah tanggungjawab untuk menjaga panda-panda itu,” katanya.

    Akmal telah menjaga panda sejak Xing Xing dan Liang Liang datang ke Malaysia dari China pada 2014.

    Bagi memastikan Xing Xing dan Liang Liang menyesuaikan diri dengan baik dengan kehidupan baharu di sini, Zoo Negara Malaysia bukan sahaja menugaskan Akmal ke Sichuan, China untuk mempelajari lebih awal cara menjaga haiwan tersebut, malah turut menghantar beberapa jenis buluh tempatan ke China untuk melihat yang mana panda suka.

    “Panda-panda itu terutamanya memakan lima jenis buluh Malaysia,” kata Akmal kepada Xinhua, sambil menyatakan bahawa memilih buluh segar adalah penting untuk memastikan panda makan dengan baik.

    Pasukan penjaga perlu meluangkan masa kira-kira tiga hari setiap minggu pergi ke negeri lain untuk menuai buluh.

    “Ada rumput di mana-mana, dengan banyak nyamuk, malah ular di sekeliling (dalam hutan buluh). Ia berbahaya,” kata Akmal.

    “Tetapi kami sanggup melakukannya kerana bagi kami ia seperti memberi makan untuk anak-anak kami.”

    Dengan makanan yang baik, cara memberi panda makan juga penting. Pengarah GPCC Mat Naim Ramli memberitahu Xinhua bahawa untuk melin- dungi gigi panda, penjaga perlu kerap menukar spesies buluh yang berbeza dan memastikan yang lebih keras dipotong menjadi kepingan yang lebih nipis.

    Kehidupan di Malaysia tampak baik dan produktif untuk Xing Xing dan Liang Liang melahirkan tiga anak panda dalam tempoh lapan tahun. Antaranya, anak sulungnya, Nuan Nuan, lahir pada 2015, kini menetap di Nanjing, China.

    “Tengok, ini Nuan Nuan,” Akmal menunjukkan salah satu gambar panda gergasi di dalam peti sejuk di pantri. Semasa Nuan Nuan dilahirkan, Akmal berkata dia seperti seorang ayah, berasa teruja sambil bimbang jika dia tidak dapat memberikan penjagaan yang sempurna kepada anak panda dan ibunya.

    Nasib baik pakar dari China sangat berpengalaman. Dengan usaha bersama penjaga Cina dan Malaysia, anak pertama yang dilahirkan di Malaysia membesar dengan sihat.

    Mengimbau kembali ketika Nuan Nuan pulang ke China pada 2017, Akmal berkata, “Kadang-kadang awal pagi kami masih memanggil namanya, Nuan Nuan, Nuan Nuan, kemudian baharu sedar dia sudah balik.”

    Yi Yi dan Sheng Yi dilahirkan pada tahun-tahun berikutnya. Akmal dan rakan-rakannya amat berbangga kerana menganggap itu adalah pujian terbesar buat mereka.

    Seorang warganet berbangsa Cina meninggalkan mesej di bawah foto Akmal dan anak panda, “Nanny Daddy Akmal senyum lebar gembira dan berasa puas.”

    Setelah sekian lama menjaga panda, Akmal cukup mengenali ciri dan rupa setiap panda.
    “Nuan Nuan pendiam dan bergaul mesra dengan penjaga. Ada garisan dihidungnya. Yi Yi macam puteri, kadang-kadang berlagak comel. Muka bulat macam ayahnya. Sheng Yi lincah dan nakal dengan memiliki hidung seperti ibunya,” kata Akmal dengan sangat akrab seolah-olah bercakap tentang anak sendiri.

    “Saya rasa panda telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya menghabiskan lebih lapan jam sehari bersamanya. Panda-panda itu seperti sebahagian ahli keluarga saya,” katanya.

    “Contohnya, kalau saya cuti dua hingga tiga hari, saya akan merindui panda. Kami menjaga panda seperti menjaga anak sendiri.”

    Pada 23 Ogos lalu ialah hari lahir Xing Xing dan Liang Liang. Zoo, dengan peminat panda, mengadakan pesta untuk panda-panda itu. Melihat kepada empat ekor panda di Malaysia, Akmal amat merindui Nuan Nuan.

    Beliau memberitahu wartawan bahawa 18 Ogos adalah hari lahir ketujuh Nuan Nuan. Pada hari itu, dia membuat panggilan video dengan penjaga di Nanjing dan mengucapkan selamat hari lahir kepada Nuan Nuan.

    “Saya berharap untuk pergi ke Nanjing untuk hari lahirnya tahun depan.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...