Pandang serius nasihat JBP

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Orang ramai dan penduduk di negara ini diingatkan untuk sentiasa peka bagi meningkatkan keselamatan, kewaspadaan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir dan tanah susur pada musim cuaca tidak menentu.

Mereka juga diingatkan untuk mengikuti keadaan cuaca dari semasa ke semasa di mana kepekaan mereka mengenai keadaan cuaca adalah amat penting serta mengetahui aspek keselamatan dan persediaan mengenainya adalah langkah yang terbaik demi keselamatan bersama.

Peringatan itu dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang menyatakan bahawa monsun barat daya dijangka akan bermula di negara ini pada minggu terakhir Jun dengan aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah barat daya.

Kenyataan menjelaskan bahawa musim monsun barat daya adalah selari dengan musim kejadian sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di kawasan Timur Laut Pasifik dan Laut China Selatan.

Sekiranya sistem siklon terjadi, Negara Brunei Darussalam akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali skala disertai dengan hujan ribut petir berserta angin kencang, tertakluk kepada jarak lokasi sistem berkenaan dari kawasan negara.

Gambar fail dari JBP menunjukkan anggota bomba memotong pokok tumbang yang menyekat jalan raya.

Di samping itu, keadaan El-Nino yang dikesan akan mempengaruhi cuaca sipnotik itu boleh menyebabkan sedikit peningkatan suhu udara yang akan berterusan sehingga sekitar awal September nanti.

Kenyataan itu menyeru orang ramai untuk sentiasa peka akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam keadaan cuaca tidak menentu seperti jika berlaku hujan yang mengakibatkan tanah susur.

Tanah susur sebahagiannya disebabkan turunan hujan yang berpanjangan dan untuk keselamatan, jika kedudukan rumah berada di atas atau di lereng atau bawah bukit, orang ramai disarankan untuk memantau keadaan kawasan atau tanah sekeliling rumah yang berdekatan, sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan jika mendapati terdapat hakisan tanah yang mula menampakkan keruntuhan dan bagi keselamatan, penghuni perlu meninggalkan rumah jika sudah ternyata membahayakan nyawa.

Jika berlaku angin kencang orang ramai diingatkan untuk tidak keluar rumah atau memandu kerana dikhuatiri pokok tumbang dan ada objek-objek yang diterbangkan angin dan terkena pada kenderaan semasa memandu serta tidak berhenti atau meletakkan kenderaan di kawasan berisiko seperti pokok, tiang elektrik atau mana-mana objek yang tinggi. Mereka juga diingatkan untuk berwaspada jika berlaku banjir khususnya apabila hujan lebat di kawasan rendah dan mudah banjir atau kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Oleh itu, mereka disarankan supaya sentiasa bersedia menghadapi situasi banjir dengan menyelamatkan harta benda ke tempat yang lebih tinggi termasuk nyawa dan dokumen penting, tidak bermain atau keluar ke kawasan yang dilanda banjir teruk dan tidak menghampiri kawasan longkang besar atau tiang elektrik serta mengawasi keberadaan anak-anak mereka semasa dalam keadaan banjir.

Sementara itu, jika keadaan cuaca berpetir atau berkilat, mereka disarankan untuk tidak melakukan aktiviti luar atau keluar rumah jika keadaan berpetir atau berkilat, tidak berada di kawasan terbuka, tidak berteduh atau berdiri di bawah pokok tinggi serta untuk menjauhi daripada struktur berlogam atau besi. JBP dalam kenyataan itu juga menyeru orang ramai sentiasa berwaspada semasa cuti awam apabila melakukan kegiatan riadah bersama keluarga atau rakan-rakan.

Bagi mereka yang ingin beriadah di pantai, mereka disarankan untuk tidak berenang ketika keadaan cuaca buruk atau berombak atau berarus kuat dan jangan sesekali membiarkan anak-anak mereka berenang di pantai tanpa diawasi, jangan berenang bersendirian, dalam keadaan ragu ataupun kurang sihat, jangan berenang terlalu jauh dari persisiran pantai dan pastikan mereka tahu had kemampuan serta jika ternampak orang lemas meminta pertolongan, pastikan mempunyai life buoy atau memakai jaket keselamatan sebelum bertindak untuk menyelamatkan mangsa.

Jika mengadakan kegiatan meredah hutan atau jungle trekking, mereka disarankan untuk tidak mendaki atau meredah bukit ketika cuaca hujan kerana laluan yang ada akan menjadi licin dan berbahaya, jangan masuk atau meredah bukit ketika keadaan cuaca sudah gelap untuk mengelakkan tersesat oleh kegelapan, jangan meredah bukit atau kawasan yang tidak dikenal pasti laluannya dan pergi terlalu jauh ke dalam hutan, hendaklah membawa air, wisel untuk memberikan perhatian atau telefon bimbit yang boleh digunakan untuk meminta pertolongan jika mendapat sebarang kecederaan atau kemalangan.

Pendaki juga harus memastikan tahap kesihatan dalam keadaan yang memuaskan serta jangan mendaki atau meredah bukit seorang diri dan maklumkan keluarga atau kawan mengenai tempat riadah yang dituju. Orang ramai juga disarankan untuk mengutamakan keselamatan dan membuat amalan senarai semak sebelum meninggalkan rumah semasa hari perayaan yang bakal menjelang iaitu untuk memastikan mana-mana peralatan elektrik yang tidak diperlukan hendaklah dimatikan seperti kipas angin, alat penyaman udara, televisyen dan lampu, menutup atau menanggalkan kepala gas memasak untuk mengelakkan sebarang kebocoran gas berlaku serta untuk memberitahu keluarga atau jiran yang terdekat ketika mereka meninggalkan rumah.

Kenyataan juga menyatakan bahawa JBP adalah bersiap siaga 24 jam dan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di darat mahupun di perairan bagi mengambil langkah-langkah yang berpatutan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terutama di kawasan-kawasan rendah serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Orang ramai juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih Safety Guide sebagai panduan asas kecemasan dan keselamatan awam yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Jika berlakunya sebarang kecemasan, orang ramai dikehendaki untuk menghubungi terus talian kecemasan 995 JBP atau melalui Talian Darussalam 123 bagi sebarang adunan.