Pandangan Agong: K’jaan akan ambil langkah susulan

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sebagai menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menyebut kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.

“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat,” menurut kenyataan itu. Menurutnya selain itu, ia turut melibatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidaang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain berkaitan. – Bernama