Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pandelela, Nur Dhabitah bergabung semula

    KUALA LUMPUR, 5 APRIL – Peminat sukan terjun bakal menyaksikan dua penerjun terbaik Malaysia iaitu Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri kembali bergandingan pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang dijadualkan pada 12 hingga 23 Mei ini.

    Perkembangan tersebut sekali gus menjawab teka-teki mengenai status pasangan baharu Pandelela bagi acara 10 meter (m) platform seirama wanita susulan kekosongan ditinggalkan bekas penerjun Datuk Leong Mun Yee yang bersara pada Disember tahun lepas.

    Mengesahkan perkara itu, ketua jurulatih skuad terjun kebangsaan, Li Rui berkata Nur Dhabitah dipilih untuk bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita di Hanoi selepas berjaya membuktikan kemampuan sepanjang tempoh persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.

    “Selepas tamat Sukan Olimpik (Tokyo 2020) kita ada buat persiapan untuk acara platform, setakat ini gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah nampak bagus. Sebenarnya, sudah tiga tahun Nur Dhabitah tidak beraksi dalam acara platform tetapi dia tetap okey dan tidak kekok,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam bahasa Mandarin sebelum diterjemahkan oleh Mun Yee yang kini pembantu jurulatih skuad terjun Malaysia pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini. 

    Gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama bukanlah sesuatu yang baharu, kerana sebelum ini mereka pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017.

    Li Rui pada masa sama memaklumkan di Hanoi, Nur Dhabitah turut bertanding dalam acara 1m papan anjal individu wanita. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...