Pandemik COVID-19 agenda utama AMM-53

Oleh Azlan Othman

HANOI, 9 SEPT – Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-53 (AMM-53) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan bermula hari ini secara maya, dengan perbincangan mengenai COVID-19 antara agenda utama serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada November.

Hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof.

Majlis Perasmian AMM-53, yang disiarkan secara penstriman langsung di laman Facebook ASEAN 2020 Vietnam, dari Rumah Tetamu Kerajaan pada 8 pagi di Hanoi. Vietnam adalah pengerusi ASEAN 2020.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, dalam ucapan perasmiannya, berkata pertemuan itu adalah bukti lain bahawa ASEAN sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baharu semasa COVID-19 dan bersatu dalam mengatasi semua kesulitan.

“Kohesif dan responsif bukan sekadar tema ASEAN 2020. Kohesif dan responsif, serta proaktif dan bertanggungjawab, telah menjadi jenama ASEAN, yang membolehkan kita saling bergandingan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan terus maju,” katanya.

Sementara itu, Phuc mencadangkan agar Dana Tindak Balas COVID-19 ASEAN dimanfaatkan dengan sebaiknya dan Rizab Bekalan Perubatan Serantau harus digerakkan sehingga mencapai kapasiti tindak balas ASEAN dalam usahanya untuk mengawal COVID-19 dan mempromosikan pemulihan yang berkekalan.

Beliau berkata ASEAN perlu segera membantu rakyat dan perniagaannya supaya kembali pulih dan mengembalikan kehidupan normal bagi mempercepat pemulihan ekonomi di rantau ini.

“Usaha juga harus dilakukan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan, memperbaiki rantaian bekalan terganggu dan meningkatkan hubungan,” tambahnya.

Gambar serahan daripada sidang video oleh VTV menunjukkan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc berucap di Hanoi, Vietnam semasa pembukaan Mesyuarat AMM-53 secara maya. – AP