Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pandemik COVID-19 buatkan masyarakat china mahir memasak

    NANJING – Selepas terperangkap di rumah selama lebih sebulan akibat penularan wabak COVID-19 yang masih berlaku, Zhang Xiaoyan, berusia 30 tahun dari Nanjing, ibu kota wilayah Jiangsu, Timur China, mendapati kemahiran memasaknya semakin baik.

    “Saya selalunya makan di pejabat dan jarang memasak di rumah pada hari bekerja. Malah pada hujung minggu, saya lebih suka makan makanan yang dibeli dari kedai,” kata Zhang.

    “Tetapi pada masa ini, saya telah menghabiskan banyak masa di rumah untuk belajar memasak,” tambahnya.

    Dengan matlamat untuk belajar sekurang-kurangnya satu hidangan baharu setiap hari, dia memuat turun tiga aplikasi perkongsian resipi dan mengikuti beberapa cef di aplikasi perkongsian video Douyin, yang juga dikenali sebagai TikTok.

    Kemahiran memasak Zhang bermula dengan membuat sup kemudian semakin baik apabila pandai membuat hidangan goreng dan pencuci mulut. Sekarang dia menumpukan perhatian untuk meningkatkan kemahiran dalam hidangan gril.

    Antara masakan yang terdiri daripada udang dan daging yang dimasak oleh Zhang Xiaoyan. – Xinhua
    Kek yang telah dibakar oleh Zhang Xiaoyan yang dipelajarinya dari aplikasi perkongsian resipi seperti Douyin, yang juga dikenali sebagai TikTok.
    – Xinhua

    Sama seperti Zhang, ramai orang Cina, yang dikenakan perintah kuarantin dalam rumah untuk mengelakkan jangkitan, memulakan kerjaya baharu di dapur. Apabila tiada apa-apa yang hendak dilakukan, memasak bukan hanya untuk makan tetapi ia juga untuk keseronokan.

    “Orang muda Cina mungkin tidak mengambil berat masa untuk memasak,” seorang warganet bergurau.

    Pertandingan memasak di seluruh negara sedang hangat di pelbagai platform media sosial. Bagi Zhang dan rakan-rakannya, ia telah menjadi satu keseronokan untuk menonton video makanan masing-masing yang disiarkan di Moments WeChat mereka pada waktu makan.

    “Ini satu cara yang istimewa untuk beramah mesra antara satu sama lain melalui makan malam, bersemuka dalam talian berbanding berjumpa di luar dan ini membantu meringankan kebimbangan orang ramai terhadap wabak itu,” katanya.

    Daging terbakar, ladu yang pecah, kek yang tenggelam di tengah, warganet Cina turut berkongsi hasil gagal mereka di media sosial dan mengusik antara satu sama lain mengenainya.

    “’Generation Food Beat’ merupakan catatan nota terbaik untuk kehidupan saya di rumah,” kata salah seorang warganet sambil bersenang-senang.

    Apabila teman-teman Zhang menghantar gambar ‘malapetaka memasak’ mereka, ia selalu membuatkan Zhang ketawa.

    Memasak, kecergasan dan belajar berada di antara tiga kegiatan teratas semasa wabak virus ini, menurut Xiaohongshu, platform perkongsian fesyen dan gaya hidup China yang sama seperti Instagram. Kek yang dibakar menggunakan periuk nasi, teh susu dan mi sejuk adalah resipi yang paling popular.

    Sebilangan kecil orang pergi membeli-belah di kedai-kedai yang disesakkan orang ramai, peruncit makanan segar dalam talian memberikan bantuan bagi mereka yang ingin menjadi tukang masak di rumah.

    Menurut laporan yang dikeluarkan oleh platform penghantaran makanan dalam talian Meituan Dianping, penjualan bahan-bahan termasuk sayur-sayuran, daging dan makanan laut melonjak 200 peratus antara bulan ke bulan, dan pencarian untuk bahan-bahan hidangan bakar atau gril meningkat 100 kali ganda baru-baru ini, dengan penjualan yis hampir 40 kali ganda.

    Zhang dan jiran-jirannya menubuhkan kumpulan WeChat untuk membeli bahan-bahan dari peruncit makanan segar tempatan dengan potongan harga. Bahan-bahan boleh dihantar ke pintu pagar pada hari yang sama.

    “Walaupun selalunya terkurung di dalam rumah kerana wabak virus, saya berharap dapat menghabiskan hari-hari saya dengan lebih menarik,” kata Zhang.

    Dia percaya bahawa lebih banyak masalah yang dihadapi orang Cina semasa wabak, semakin banyak mereka akan belajar menghargai detik-detik yang baik dalam kehidupan dan gaya hidup yang sihat.

    “Apabila wabak itu berakhir kelak, saya akan bertahan dalam kerjaya dapur saya untuk memastikan diet yang sihat,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda